Anwar pimpin Andrew bersyahadah peluk Islam di New York



Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan memimpin syahadah seorang lelaki memeluk Islam selepas menunaikan solat dan menyampaikan khutbah Jumaat di masjid Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY), hari ini. Ketika Perdana Menteri beredar sambil bersalaman dengan jemaah selepas menyampaikan sumbangan al-Quran daripada kerajaan kepada masjid, pengacara majlis memaklumkan seorang lelaki dikenali sebagai Andrew Vinals mahu memeluk Islam dan memintanya tampil. Kemudian seorang pegawai masjid dilihat menjemput Anwar sambil pengacara majlis mengumumkan Perdana Menteri akan menyempurnakan pengislaman lelaki berkenaan. Menurut pegawai media daripada Pejabat Perdana Menteri, majlis itu adalah secara kebetulan dan tiada dalam atur cara rasmi. Perdana Menteri adalah pemimpin negara luar pertama diberikan penghormatan menyampaikan khutbah di masjid ICCNY yang bersejarah, iaitu masjid pertama dibuka di kota New York pada 25 September 1995 yang turut menempatkan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Selepas selesai solat, pengacara mengucapkan terima kasih kepada Anwar kerana sudi menerima jemputan pihak masjid untuk berjemaah dan berkhutbah. Menurutnya, jemaah masjid amat bertuah kerana Perdana Menteri yang menerima sanjungan di peringkat antarabangsa, terutama dunia Islam hadir berjemaah di masjid berkenaan.



No comments: