SETELAH SEMINGGU KEMPEN BERJALAN, KEDUDUKAN SETAKAT INI 4-2



Macam mana PRN 12 Ogos ini?


Berapa negeri PH boleh menang dan berapa negeri pula untuk PN?


Sejak dua tiga hari lalu, ke mana saja saya pergi dan terjumpa dengan kawan-kawan, inilah antara soalan yang paling kerap mereka tanyakan.


Mereka yang menghubungi saya melalui telefon atau menghantar pesanan tulisan, itulah juga selalunya pertanyaan mereka.


Untuk itu, sesuai dengan tempoh kempen PRN enam negeri sudah berjalan kira-kira seminggu sejak penamaan calon pada 29 Julai lalu, saya dengan langkah pro bono mengambil peluang untuk menghubungi beberapa kenalan di negeri berkenaan, sementara di Selangor dan Negeri Sembilan, saya sendiri dua tiga kali turun padang membuat tinjauan.


Secara kasar, setelah seminggu kempen berjalan, dapatan yang diperolehi menunjukkan PH masih mendahului di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.


Di ketiga-tiga negeri berkenaan, PH diyakini mampu mengekalkan pemerintahannya, walaupun majoriti kerusi yang diperolehi dijangka akan berkurangan.


Rata-rata mereka yang ditemui dan ditanya boleh dikata berpuas hati dengan pemerintahan PH selama ini dan tiada isu yang mengguris hati atau boleh menyebabkan mereka marah, lalu terdetik keinginan menukar kerajaan kepada PN.


Dalam pemahaman mereka, keghairahan PN untuk menang hanya semata-mata kerana ingin melonjakkan lagi kerakusan terhadap kuasa, sama ada untuk menjadikannya sebagai landasan menjatuhkan kerajaan selepas ini atau untuk mendepani PRU16 akan datang.


Dengan itu, PH lebih menjadi pilihan pengundi untuk meneruskan khidmat kepada rakyat, tambahan lagi prestasi kerajaan perpaduan di peringkat pusat yang memuaskan dan kedudukannya yang selari dengan kerajaan negeri, turut merupakan perkiraan yang banyak melekat dalam hati.


Dalam masa yang sama, isu calon kitar semula, penguasaan calon kem Azmin Ali yang terlalu menonjol dan percikan dalaman antara Pas dan Gerakan berkaitan pencalonan Presiden Gerakan, Dominic Lau diletakkan bertanding di kawasan Melayu di Pulau Pinang, adalah antara hambatan utama yang menipiskan lagi peluang PN di Selangor.


Bagi Negeri Sembilan, masalah utama PN ialah mereka dilihat tidak menampilkan pemimpin yang benar-benar ada merit berbanding PH dan BN untuk menerajui dan mengambil alih kerajaan negeri.


Memang ada sedikit masalah dalaman di sana sini di dalam PH berkaitan pemilihan calon dan terkait hubungannya dengan BN, khusus dalam pembahagian kerusi, tetapi ia tidak sampai menggugat jumlah perolehan kerusi yang dijangka dimenangi.


Meskipun UMNO bertanding lebih banyak kerusi dan berkemungkinan PH, khususnya PKR dan Amanah bakal tewas satu dua kerusi disebabkan masalah dalaman tadi, bagaimanapun adalah dijangka kerusi Menteri Besar akan terus kekal dipegang oleh Aminudin Harun.


Selain Aminuddin dikekalkan kerana ia sudah dijanjikan dan beliau memang sudah pun menduduki kerusi itu, formula sokongan PH kepada Menteri Besar Perak dan Pahang selepas PRU15 lalu, dirasakan akan menjadi pegangan untuk membina kestabilan politik di Negeri Sembilan selepas PRN nanti.


Ertinya, walaupun kerusi yang mungkin dimenangi UMNO adalah lebih, ia tidak menjadikan kerusi Menteri Besar Negeri Sembilan berpindah kepada calon parti itu.


Tambahan lagi, Mohamad Hasan atau Tok Mat yang bertanding kerusi Dun Rantau sudah berada dalam kabinet kerajaan perpaduan di peringkat pusat sebagai Menteri Pertahanan sekarang ini.


Takkan Tok Mat nak jadi Menteri Besar semula?


Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias yang bertanding di Dun Pertang dan turut dilihat berminat untuk kerusi Menteri Besar, rasa-rasanya cukuplah sekadar jadi Exco saja.


Di Pulau Pinang, di sebalik ada kemungkinan majoriti kerusi akan berkurangan, kemampuan PH/BN mengekalkan kekal memerintah lagi tidak pernah diragukan.


Bersama perbalahan Pas dan Gerakan dijangka berlarutan sehingga ke peti undi, semua ini adalah elemen yang akan meningkatkan lagi kemampuan PH memenangi lebih banyak kerusi.


Bagi tiga negeri yang kini ditadbir PN, meskipun ada peningkatan sokongan dan arus perubahan mula kelihatan kepada PH, tetapi yang paling berpotensi untuk bertukar kerajaan ialah Kedah.


Dengan pelbagai isu melingkari Sanusi Md Nor, Menteri Besar berciri pelawak dan kerjanya hanya mengata orang tanpa menampilkan tawaran untuk rakyat sebagai ketua sebuah kerajaan negeri, kebarangkalian untuk perubahan dilihat cerah sekali.


Jumlah boleh menang bagi PH/BN setakat ini di Kedah ialah 16 kerusi.


Tetapi, dengan PH/BN bakal meningkatkan lagi serangan kempen mulai minggu depan, 19 hingga 20 kerusi diyakini dapat ditakluki, sekaligus dengan jumlah itu bakal menghantar Sanusi sebagai Ketua Pembangkang semula di Dun Kedah selepas 12 Ogos nanti.


Untuk Kelantan dan Terengganu, tidak dinafikan turut bertiup angin perubahan dan peningkatan sokongan, tetapi PN melalui kekuatan akar umbi Pas, hampir pasti kekal lagi menguasai kedua-dua negeri tersebut.


Kesimpulannya, setelah seminggu kempen berlangsung setakat ini, kedudukan semasa ialah 4-2. – ShahbudinHusin 06/08/2023.


https://shahbudindotcom.net/



No comments: