Pemimpin PAS digesa tegur ahli ‘kafirkan’ Umno

 


Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengulas penularan video ahli PAS didakwa ‘mengkafirkan Umno’ sewaktu kempen PRN.


Asyraf Wajdi Dusuki menyeru semua pihak agar tidak memutuskan ukhuwah Islamiyah hanya kerana berbeza pendirian politik. (Gambar Facebook Barisan Nasional)

PETALING JAYA: Kepimpinan PAS digesa mengeluarkan arahan bagi menjernihkan keadaan bahawa sesiapa sahaja mengundi mana-mana parti tidak sesekali akan jatuh kafir, apatah lagi masuk syurga atau neraka.

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata demikian mengulas penularan video ahli PAS didakwa “mengkafirkan Umno” sewaktu kempen PRN.

“Saya memohon agar semua dapat membezakan, jangan sesekali menjatuhkan tahap kekafiran seseorang hanya berbeza politik,” katanya di Facebook.

Terdahulu tular di media sosial seorang wanita bertemu pengundi untuk berkempen bagi calon BN, namun kehadirannya tidak disambut baik.

Pengundi itu, yang juga wanita warga emas, memberitahu beliau tidak mahu mengundi Umno kerana “akan kafir sampai kiamat”.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata penularan video itu amat menyedihkan kerana masih ada ahli PAS yang terpengaruh dengan kepimpinan yang dulunya menanam ideologi mengundi Umno akan rosak akidah dan masuk neraka.

“Saudara kita harus bezakan antara Islam dan parti. Islam adalah agama, PAS adalah parti politik, dua perkara berbeza. Tidak menyertai PAS, tidak mengundi PAS, tidak sesekali menjadikan kita kufur.

“Tidak mengundi Umno pun tidak jatuh kufur kerana Islam lebih tinggi daripada parti politik. Jangan sesekali kita putus ukhuwah Islamiyah hanya kerana berbeza politik.

“Saya amat berharap barisan kepimpinan tertinggi PAS agar dapat mengeluarkan arahan dan kenyataan bagi menjernihkan fenomena ini,” jelasnya.

Sementara itu Ahli Parlimen Padang Terap Nurul Amin Hamid menggesa pengguna media sosial menurunkan video tersebut.

“Ahli keluarga makcik ini tidak izin video disebar, ramai yang tidak tahu keadaan makcik ini yang sebenar. Jangan sebar membabi buta,” katanya.