PRK: Majoriti besar jika peratusan keluar mengundi tinggi


 Oleh: Abdullah Zaid



Bagi mengekalkan kemenangan kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pengundi digesa untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 9 September ini.



Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof berkata, faktor peratusan keluar mengundi yang rendah dan keselesaan pengundi yang yakin kepada kemenangan Kerajaan Perpadun di Selangor menjadi penyebab kemenangan dua pertiga kerusi DUN gagal dikuasai dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.



Justeru, katanya dibimbangi faktor yang sama juga berlaku pada PRK bagi kedua kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) itu.



"Jika kita lihat memang dalam PRN Selangor peratusan keluar mengundi sangat rendah dan ramai berpandangan Selangor tetap diterajui Kerajaan Perpaduan.



"Oleh itu, disebabkan kita tidak keluar mengundi maka kemenangan yang sepatutnya berpihak kepada kita diberikan kepada mereka (PN) jadi kita tidak mahu perkara sama (PRK) berulang lagi," katanya.



Ketua Penerangan Pakatan Harapan Selangor itu berkata demikian menerusi Wawancara “Apa Selepas PRK Pulai?” terbitan Sumberkini yang turut dihadiri Pengarah Komunikasi UMNO Datuk Lokman Noor Adam, malam tadi.



Selain itu, tambahnya, kemenangan bagi kedua kerusi terbabit wajib dikekalkan agar legasi yang ditinggalkan oleh almarhum Datuk Seri Salahuddin Ayub terus mekar buat rakyat di kawasan tersebut.



"PRK kali ini pastikan pengundi keluar beramai-ramai supaya legasi almarhum Salahuddin Ayub dapat dikekalkan di parlimen dan DUN agar semua kerja baik dan khidmat yang beliau buat dapat diteruskan.



"Kita boleh mencipta sejarah, di mana PRK ini peratusan keluar mengundi tinggi agar kita mendapat kemenangan yang besar," ujarnya lagi.

 

No comments: