Oleh: Abdullah Zaid
Bagi mengekalkan kemenangan kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang
Jeram pengundi digesa untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 9
September ini.
Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof berkata, faktor peratusan
keluar mengundi yang rendah dan keselesaan pengundi yang yakin kepada
kemenangan Kerajaan Perpadun di Selangor menjadi penyebab kemenangan dua
pertiga kerusi DUN gagal dikuasai dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Justeru, katanya dibimbangi faktor yang sama juga berlaku pada PRK
bagi kedua kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) itu.
"Jika kita lihat memang dalam PRN Selangor peratusan keluar
mengundi sangat rendah dan ramai berpandangan Selangor tetap diterajui Kerajaan
Perpaduan.
"Oleh itu, disebabkan kita tidak keluar mengundi maka
kemenangan yang sepatutnya berpihak kepada kita diberikan kepada mereka (PN)
jadi kita tidak mahu perkara sama (PRK) berulang lagi," katanya.
Ketua Penerangan Pakatan Harapan Selangor itu berkata demikian
menerusi Wawancara “Apa Selepas PRK Pulai?” terbitan Sumberkini yang turut
dihadiri Pengarah Komunikasi UMNO Datuk Lokman Noor Adam, malam tadi.
Selain itu, tambahnya, kemenangan bagi kedua kerusi terbabit wajib
dikekalkan agar legasi yang ditinggalkan oleh almarhum Datuk Seri Salahuddin
Ayub terus mekar buat rakyat di kawasan tersebut.
"PRK kali ini pastikan pengundi keluar beramai-ramai supaya
legasi almarhum Salahuddin Ayub dapat dikekalkan di parlimen dan DUN agar semua
kerja baik dan khidmat yang beliau buat dapat diteruskan.
"Kita boleh mencipta sejarah, di mana PRK ini peratusan
keluar mengundi tinggi agar kita mendapat kemenangan yang besar," ujarnya
lagi.