Sebuah jawatankuasa khas bagi meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya golongan muda terhadap kepentingan sains, teknologi dan inovasi (STI) bakal ditubuhkan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang
berkata jawatankuasa itu akan melibatkan pelbagai pihak termasuk Kementerian
Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia.
Usaha meningkatkan kesedaran kepada STI itu jelasnya diambil
berikutan statistik menunjukkan terdapat penurunan minat dalam kalangan pelajar
lepasan sekolah yang mengikuti bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan
matematik (STEM).
Penurunan minat itu jelas Chang adalah trend yang membimbangkan
kerana Malaysia dalam usaha menuju ke arah negara maju menjelang 2030.
"Jawatankuasa khas ini berperanan mencari kaedah terbaik
dalam mempromosikan STEM. Kerja-kerja awal telah dilaksanakan, namun
jawatankuasa ini akan bermula secara rasmi dalam tempoh dua atau tiga bulan
lagi," katanya dipetik.
Beliau berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan Karnival
Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Johor di Stadium Tertutup Arena Larkin di
Johor Bahru.
Pada 20 Julai lepas, Lih Kang dilapor berkata berdasarkan data KPM
tahun lepas, peratusan murid menengah atas yang menyertai aliran STEM dari 2017
hingga 2022 menurun daripada 45.20 peratus kepada 40.94 peratus.
Kajian serupa turut menunjukkan penurunan minat terhadap sains
dalam kalangan pelajar kepada 40 peratus pada 2022 berbanding 66.7 peratus pada
2019.
Sementara itu, beliau yang merupakan Ahli Parlimen Tanjung Malim
menjelaskan, faktor menyebabkan golongan muda tidak meminati bidang STEM
susulan kesukaran menguasai aliran tersebut, proses pengajaran yang kurang
menarik serta prospek pekerjaan dalam bidang itu yang masih rendah.
Justeru menurutnya menjadi tanggungjawab kerajaan dalam
mempromosikan STEM dari peringkat awal persekolahan, sama ada melalui
pendidikan formal mahupun kurang formal termasuk mempelbagaikan kaedah
pengajaran seperti mengadakan program Minggu Sains Negara.
"Selain itu, kita juga menyeru pemain industri khususnya
syarikat besar dan perindustrian untuk sama-sama mengaplikasikan sains dan
teknologi dalam perusahaan mereka, kesemua ini sedang diusahakan MOSTI,"
katanya.