Oleh: Abdullah Zaid
Rentetan bantahan projek pembangunan blok baharu oleh gabungan persatuan Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang, Ahli Parlimen Batu P Prabakaran memberi jaminan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Menurutnya, petisyen berkenaan diserahkan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Kamarulzaman Mat Salleh bagi mengetahui maklumat terperinci mengenai projek berkenaan.
"Apa pun saya minta pihak DBKL atau Datuk Bandar berjumpa dengan peniaga atau persatuan di Pasar Borong Kuala Lumpur untuk berbincang dan semak semula untuk mendapatkan hala tuju yang sama," katanya dalam sidang media semalam..
Tambahnya, berdasarkan pengalaman pembangunan pasar borong di ibu kota itu, projek dilaksanakan tanpa pandangan atau libat urus daripada pihak peniaga sebagai pengguna kepada fasiliti yang dibangunkan.
"Sebagai contoh di Pasar Selayang, disebabkan ada masalah komunikasi dengan peniaga tapak yang dibuat pemaju lebih kecil.
"Jadi saya selaku Ahli Parlimen bersama pegawai Perdana Menteri akan membawa isu ini untuk cari titik penyelesaian 'win-win situation' (menang-menang).
"Tarikh sebenar tapak cadangan di parkir sedia ada di sini mahu dibangunkan tidak diberitahu tetapi saya difahamkan akan bermula secepat mungkin jika mendapat kelulusan DBKL, sebab ada bantahan, jadi masih tertangguh," katanya.
Untuk rekod, semalam, gabungan Persatuan Pasar Borong Kuala Lumpur menyerahkan petisyen kepada Ahli Parlimen Batu itu bagi membantah projek pembangunan blok baharu pasar borong tersebut.
Dakwa mereka, pembangunan projek berkenaan dibimbangi akan menjejaskan 448 peniaga sedia ada membabitkan 168 gerai pemborong ikan, 216 pemborong sayur dan 64 pemborong buah-buahan.