Kibarkan Jalur Gemilang, tunjuk Malaysia bangkit - PM




 Perayaan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini seharusnya disambut secara penuh semangat patriotik oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik.


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tarikh keramat 31 Ogos 1957 lepasnya Tanah Melayu dari penjajahan British dan berikutnya 16 September 1963 terbentuknya Malaysia merupakan perayaan kebangsaan bagi menunjukkan berbilang kaum di negara ini bersatu hati dan jiwa.


"Oleh yang demikian mari kita meraikan, tunjukkan bahawa kita satu generasi rakyat yang faham perjuangan bapa bapa dan ibu ibu kita mencapai kemerdekaan, dan bagaimana harus kita tunjukkan kesetiaan kita adalah untuk mematuhi semangat dan prinsip Perlembagaan (negara) dan meraikan, menyantuni serta menjayakan kehadiran hari keramat 31 Ogos," katanya dalam satu siaran media.


Sehubungan itu, PM berharap rakyat Malaysia dari seluruh pelosok negara mulai hari ini akan mengibarkan Jalur Gemilang tanda syukur di atas ketenteraman, kemakmuran dan kenikmatan hidup di dalam negara Malaysia tercinta.


"Saya syorkan mulai sekarang sehingga 31 Ogos hari kemerdekaan negara dan seterusnya Hari Malaysia, 16 September, kita kibarkan Jalur Gemilang dengan megah di setiap kenderaan, jabatan, di rumah dan di mana sahaja menunjukkan bahawa Malaysia sekarang bangkit sebagai negara yang bersatu padu dan punyai cita cita dan serta idealisme untuk menghayati semangat kemerdekaan itu


"Mulai hari ini sehingga 31 Ogos hari kemerdekaan Tanah Melayu dan 16 September Hari Malaysia, kibarkan bendera Malaysia, Jalur gemilang.


"InshaAllah ia merupakan satu cetusan semangat baharu dan petanda perubahan dalam negara kita," katanya.


Pada tahun ini Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan ke 66 dan tema sambutan yang dipilih tahun ini ialah Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan.


No comments: