HUTANG PENEROKA FELDA, TAK BOLEHKAH MAHIADDIN BERKONGSI PAHALA DENGAN ANWAR?

 

Selepas saling berbalas ancaman untuk menyaman dan menuntut pampasan antara satu sama lain, Mahiaddin Md Yasin semalam memfailkan samannya terhadap Anwar Ibrahim berhubung isu hutang peneroka Felda.

Mahiaddin memfailkan saman fitnah terhadap Anwar berikutan dakwaan Perdana Menteri bahawa kerajaan terdahulu pimpinan beliau tidak menghapuskan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion seperti mana yang dijanjikan.

Dalam pernyataan tuntutan difailkan di Mahkamah Tinggi, Mahiaddin mendakwa kenyataan Anwar membayangkan beliau “berbohong” mengenai penghapusan hutang peneroka Felda itu.

Pengerusi PN itu menuntut RM400 juta secara keseluruhannya untuk ganti rugi teladan dan teruk, serta jumlah yang tidak ditentukan untuk ganti rugi am.

Mahiaddin juga mahu Anwar mengeluarkan kenyataan-kenyataan terhadapnya itu daripada laman media sosialnya.

Sebelum ini, peguam Mahiaddin mengeluarkan surat tuntutan kepada Anwar bagi mendesak Perdana Menteri menarik balik kenyataannya yang antara lain menggambarkan hutang peneroka Felda tidak pernah dijelaskan, meski telah dibuat pengumuman.

Bagaimanapun, Anwar membalas dengan menuduh Muhyiddin “memutar-belit” kenyataannya dan menuntut agar Muhyiddin memohon maaf kerana mengambil kenyataan itu secara luar konteks.

Anwar menuntut pampasan RM200 juta daripada Mahiaddin atas tindakannya itu.

Peguam Anwar juga menuntut Mahiaddin menarik balik surat tuntutannya dan jika tidak, mereka mengancam akan memulakan tindakan undang-undang.

Dalam penegasannya, Anwar mendakwa bahawa kerajaan PN pimpinan Mahiaddin gagal menyediakan sebarang peruntukan dalam Belanjawan 2021 dan 2022 untuk menyelesaikan isu hutang Felda sebagaimana diumumkan sebelum itu.

Perdana Menteri berpegang kepada fakta bahawa hanya dalam Belanjawan Madani tahun ini saja barulah peruntukan RM990 juta disediakan sebagai bayaran awal untuk menyelesaikan hutang tersebut.

Bagaimanapun, di sebalik kesibukan menghadapi PRN enam negeri, Mahiaddin nampaknya lebih dulu mengemukakan saman terhadap Anwar di mana samannya itu difailkan semalam.

Meneliti kemelut ini, apa yang menjadi pertikaian hanyalah tentang siapa yang sebenarnya menyelesaikan hutang peneroka Felda itu.

Memang pengumuman mengenai pelupusan hutang Felda dibuat oleh Mahiaddin, tetapi ia tidak disertai dengan pembayaran atau wang dan sebab itu tiada peruntukan dimasukkan dalam Belanjawan 2021 dan 2023.

Hanya apabila Anwar menjadi Perdana Menteri, barulah peruntukan pembayaran itu dimasukkan dalam belanjawan dan pengumuman pelupusan hutang itu dibuat sekali lagi.

Dalam hal ini, menyorot tulisan bekas Ketua Setiausaha Sulit Mahiaddin iaitu Marzuki Mohamed, beliau sendiri mengakui peruntukan kewangan itu tidak dimasukkan dalam belanjawan kerana katanya, Mahiaddin telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada Ogos 2021.

Jadi, kenapa Mahiaddin hendak marah dan mahu menyaman Anwar, sedangkan bekas pegawainya sendiri mengakui memang pembayaran tidak dilakukan?

Soalnya, kenapa selepas meletakkan jawatan, Mahiaddin tidak pernah membangkitkan tentang perkembangan hutang peneroka Felda itu?

Bukankah Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz masih kekal sebagai Menteri Kewangan selepas beliau meletakkan jawatan?

Lebih daripada itu, selepas meletakkan jawatan, selain kerajaan dan anggota kabinet adalah barisan yang sama, tidakkah Ismail Sabri Yaakob yang mengambil alih jawatan Perdana Menteri adalah pilihan Mahiaddin sendiri?

Kenapa beliau tidak pernah bertanya kepada Ismail Sabri atau Tengku Zafrul dan tiada pula membangkitkannya di Parlimen?

Sepatutnya, apabila Anwar bercakap sekali lagi tentang pelupusan hutang Felda serta melakukan pembayaran dengan penerbitan sukuk, Mahiaddin wajar berbangga kerana usaha awal beliau telah disempurnakan akhirnya oleh PMX.

Apa yang Mahiaddin mahu sebetulnya – hutang diselesaikan dan peneroka Felda dibebaskan daripada beban hutang atau ingin namanya dijaja serta disebut ke sana sini dalam isu tersebut?

Tidak cukupkah dengan catitan malaikat yang mungkin menulis beliau sebenarnya telah berkongsi pahala dengan Anwar dalam berbuat kebaikan kepada peneroka Felda yang masih miskin dan susah itu? – ShahbudinHusin 29/07/2023.



No comments: