PN KETEPIKAN PROKLAMASI ORANG MELAYU?


 Mahiaddin Md Yasin semalam mengumumkan, PN akan bertanding di semua 245 kerusi Dun dalam PRN enam negeri akan datang ini.

Katanya, PAS akan bertanding di 126 kerusi, Bersatu 83 kerusi dan Gerakan 36 kerusi.

“Rundingan kerusi berjalan dengan agak lancar, tiada perselisihan faham yang boleh mencetuskan masalah.

“Kami dapat muktamadkan (rundingan) lebih awal berbanding tarikh pengundian yang masih belum diumumkan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PN di Kuala Lumpur.

Turut hadir Presiden Pas, Hadi Awang, Presiden Gerakan, Dominic Lau dan barisan pimpinan tertinggi PN yang lain.

Sebelum ini, selepas mengadakan rundingan meja bulat dengan parti-parti yang menyokong Proklamasi Orang Melayu, Tun Mahathir Mohamad yang seolah-olah menobatkan dirinya sebagai ketua blok pembangkang, mengumumkan mereka bersetuju untuk tidak bertembung sesama sendiri dalam PRN akan datang nanti.

Dalam rundingan meja bulat yang dihadiri beberapa pemimpin utama Pas dan pemimpin kecil Bersatu, tetapi tidak dihadiri Mahiaddin dan Hamzah Zainuddin selaku Ketua Pembangkang, Tun Mahathir turut menyebut, pertemuannya dengan Mahiaddin akan diatur selepas itu.

Begitu pun, di sebalik Mahiaddin menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan Tun Mahathir yang lebih dulu mempelawanya untuk bekerjasama, tetapi sehingga ini tiada pertemuan berlangsung antara kedua-dua mereka.

Secara umumnya, disedari kebimbangan dalam PN terhadap pertemuan itu ialah Tun Mahathir pastinya akan meminta sejumlah kerusi untuk kelompok yang menyokongnya, termasuk daripada Pejuang yang dipimpin anaknya, Mukhriz.

Hakikatnya, mereka itu tiada kekuatan sendiri selepas hilang deposit pada PRU15 lalu dan berharap dapat bernafas kembali dengan menumpang kekuatan PN.

Malah Mukhriz tidak lama sebelum ini turut memohon untuk menyertai PN, tetapi telah ditolak dengan alasan penyertaan parti itu akan mengganggu proses pengagihan kerusi dalam gabungan tersebut.

Semalam, sementara Tun Mahathir masih di luar negara dan tanpa menunggu perjumpaan dengan Mahiaddin berlangsung, PN secara rasmi telah mengumumkan dan memuktamadkan pembahagian kerusi antara mereka.

Nampaknya melalui pembahagian itu, tiada kerusi diperuntukkan kepada parti atau pihak lain selain parti dalam PN.

Sekaligus ini bermakna, PN telah mengenepikan Tun Mahathir dan Proklamasi Orang Melayu dalam menghadapi PRN enam negeri mendatang ini.

Masih mahu bertanding jugakah mereka yang bersama Proklamasi Orang Melayu, termasuk Pejuang yang dipimpin Mukhriz dalam PRN nanti? – ShahbudinHusin 23/06/2023.





No comments: