Kritikan kononnya Perdana Menteri (PM) Malaysia tidak menghiraukan
nasib rakyat Kedah dengan tidak mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar (MB)
Kedah dan membincangkan pembangunan negeri dibidas Ahli Majlis Pimpinan Pusat
KEADILAN, Siti Aishah Shaik Ismail.
Menurut Siti Aishah, kritikan yang dikeluarkan oleh Ketua
Penerangan Muslimat PAS Kedah, Mardhiyyah Johari bersifat menyerang dan tidak
adil kerana sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai PM, MB
Kedah sendiri tidak pernah berhenti menghentam Anwar.
Katanya, Mardhiyyah tidak wajar membangkitkan dua projek besar
Kedah yang tidak mendapat kerjasama Persekutuan sekiranya beliau faham
bagaimana hubungan negeri dan Persekutuan seharusnya terjalin.
"Kenyataan beliau yang cuba mewujudkan persepsi bahawa dengan
tidak adanya pertemuan, membuatkan rakyat Kedah tertindas dan Kedah terkeluar
dari pembanggunan serta kemajuan adalah jauh tersasar.
"Kenyataan beliau juga merujuk kepada dua perkara yang menjadi
perbahasan masyarakat, iaitu soal pembangunan Lapangan Terbang Kulim dan
pajakan negeri Pulau Pinang bukanlah sesuatu yang boleh diselesaikan dengan
sikap pemimpin yang tidak bertanggungjawab.
"Bagaimana perkara yang amat fundamental seperti ini mahu
dibincangkan jika kewarasan mereka yang mahu memperbincangkannya jelas tidak
kelihatan.
"Isu ini melibatkan Perlembagaan atau keutamaan pembanggunan
yang perlu dibuat secara relevan," katanya dalam satu kenyataan.
Sebaliknya, Siti Aishah mahu muslimat Pas melihat pembelaan dan
kebajikan yang telah dilakukan oleh PMX di Kedah.
Katanya, PM setiap kali turun ke negeri itu memberikan fokus
kepada pembangunan ekonomi rakyat, sektor pendidikan dan ingin menghapus
kemiskinan tegar di Kedah.
"Sebagai contoh, setiap kali PM turun akan sentiasa ada
insentif kepada rakyat yang diumumkan. Tidak ada istilah lupa atau pengabaian
kepada rakyat Kedah seperti yang digambarkan oleh Mardhiyyah.
"Mardhiyyah seharusnya menjadi penilai yang baik dengan
berani menegur dan mengkritik cara Menteri Besar Kedah dalam menjalankan fungsi
beliau sebagai seorang pemimpin.
"MB Kedah harus kembali kepada norma biasa pemimpin yang
perlu bermula dengan sikap dan adab. Jika benar MB Kedah ikhlas untuk bercakap
soal rakyat maka beliau harus memperbaiki sikap dan pertuturan bukannya
sentiasa melemparkan persepsi jahat dan fitnah kepada PM dan Kerajaan
Persekutuan," katanya.
Justeru, Siti Aishah menasihatkan muslimat Pas Kedah agar kembali
kepada ajaran Islam sebenar yang mementingkan hubungan baik dan saling
menghormati antara sesama muslim, termasuklah antara MB dan PM.
"Hubungan baik antara PM dan MB dari parti lain di beberapa
negeri yang berlainan boleh dijadikan rujukan oleh saudari.
"Jangan kita ibarat melontar batu sembunyi tangan, meletakkan
kesalahan di bahu orang lain tanpa melihat kelemahan pemimpin sendiri,"
katanya lagi.
Untuk rekod, MB Sanusi merupakan satu satunya Ketua Kerajaan
Negeri yang masih belum bertemu PM di Putrajaya.
Tiga MB negeri ditadbir Pas seperti Kelantan, Terengganu dan
Perlis telah pun berbuat demikian.