Anwar umum kurang 25% cukai taksiran rumah mampu milik Wilayah
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengurangan cukai taksiran bagi kediaman mampu milik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 25%.
Pengurangan cukai itu adalah bagi kategori rumah kediaman mampu milik yang telah siap selepas tahun 2014 sehingga kini.
“Cukai taksiran yang dikenakan ke atas rumah kediaman di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur agak membebankan warga kota terutamanya pemilik kediaman rumah mampu milik.
“Sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI dan eleman ihsan yang menekankan kepada aspek peduli, kerajaan telah mengambil keputusan untuk memberikan pengurangan cukai taksiran sebanyak 25% bermula penggal kedua tahun 2023 iaitu Julai hingga Disember 2023, sehingga penilaian semula dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut PM pengurangan cukai taksiran tersebut memberikan manfaat kepada 25,677 pemilik rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan melibatkan pengurangan hasil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sebanyak RM2.067 juta.
“Kategori pemilik rumah mampu milik yang layak bagi inisiatif ini adalah RUMAWIP, PRIMA, PPAM dan Residensi Wilayah di Kuala Lumpur.
“Pengurangan cukai taksiran kediaman rumah mampu milik diharap dapat mengurangkan beban kos sara hidup warga B40 dan M40 di Wilayah Persekutuan,” katanya lagi.