Langkah kerajaan mengenakan cukai ke atas produk berkaitan vape disambut baik Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC).
Setiausaha Agungnya, Raja Azizan Suhaimi berkata vape sudah lama berada dalam pasaran dan pengenalan cukai berkenaan mampu mendapatkan semula cukai rokok yang menyusut kesan lambakan vape.
Malah langkah kerajaan itu, kata beliau, dapat mengurangkan ketirisan hasil pendapatan kerajaan daripada jualan rokok biasa yang kini berkurangan susulan kehadiran peranti vape.
"Lanjutan dari langkah Kerajaan mengeluarkan produk cecair atau gel nikotin daripada Akta Racun 1952 dan melaksanakan cukai ke atas hasil penjualan cecair nikotin untuk rokok elektronik (e-rokok) pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml), MASAC berpandangan ianya merupakan langkah yang baik untuk mengurangkan ketirisan hasil pendapatan Kerajaan dari jualan rokok biasa yang kini telah berkurang kesan dari kehadiran peranti vape.
"Pengenalan cukai ini, mampu mendapatkan semula cukai rokok yang telah berkurang kesan dari lambakan kehadiran vape di pasaran," katanya dalam satu kenyataan.
Raja Azizan turut berharap Rang Undang-Undang (RUU) baharu yang akan mengawal selia semua produk merokok termasuk bahan merokok mengandungi nikotin yang dijangka dibentang di Parlimen pada Mei ini memasukkan seksyen yang hanya membenarkan penggunaan peranti vape dalam kalangan pengguna berusia 18 tahun dan ke atas.
"Ia bagi memastikan belia dan pelajar bawah umur tidak terbabit dengan penggunaan vape," katanya.
Sebagai rekod, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustapha sebelum ini memaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia akan membentangkan RUU baharu sebagai langkah memastikan kawalan menyeluruh terhadap sediaan nikotin atau gel mengandungi nikotin dalam cecair elektronik atau vape.
KKM juga jelasnya akan mempergiatkan kempen advokasi kesedaran bahaya merokok termasuk penggunaan rokok elektronik atau vape melalui Pelan Generational Endgame Anti Rokok (GEGAR).
"MASAC turut bersedia menganggotai kempen advokasi kesedaran bahaya merokok termasuk penggunaan vape melalui Pelan Generational Endgame Anti Rokok (GEGAR) yang ditubuhkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Selain itu, MASAC bersedia bersama KKM agar maklumat mengenai nikotin vape yang mungkin ada dicemari dadah dapat dikongsi maklumatnya oleh MASAC kepada semua rakyat Malaysia agar bijak memilih jenis nikotin yang berdaftar sahaja dan tidak semberono membeli nikoton di mana-mana yang tidak diketahui kandungannya walau dijual dengan harga yang murah," kata kenyataan itu lagi.