ISU KEDAULATAN NEGARA: JANGAN BUAT ULASAN DI LUAR KONTEKS



1. Saya tidak pernah berhasrat untuk mengulas kenyataan media PM di Shah Alam pada 8 April 2023 tentang Laut China Selatan. Tetapi, apabila seorang YouTuber dengan tajuk videonya “Nak bodek China pun, AGAK-AGAKLAH BANG NON!”

mensensasikan isu ini, saya fikir ia sangat berbahaya dan memerlukan penjelasan.

2. Video ini mengecam PM sebagai individu yang "membodek China seolah-olah tak ingat dunia," ekoran kenyataan PM yang mahu berunding dengan China mengenai pertindihan cari gali petroleum di kawasan ZEE oleh Petronas.

3. Kenyataan PM bukan mengiktiraf kawasan ZEE itu milik China, tetapi mempertahankan kawasan itu sebagai kawasan milik negara kita di meja rundingan. PM menyuarakan hal tersebut kepada kerajaan China setelah China juga menyatakan mereka menuntut kawasan yang sama.

4. Kenyataan PM itu dimanipulasi oleh pembangkang sebagai menjual kedaulatan negara, dan menyerang PM dengan mengatakan kenyataan PM itu sebagai suatu tindakan yang mengguris hati rakyat. Mereka juga menganggap PM kita tidak layak memimpin negara ini.

5. Selepas itu muncul berbaris komen beremosi yang mencaci PM. Antaranya: “Anwar bukan tau apa pun dia ni lapaq nak jadi perdana menteri ja.” “PMX letak jawatan, anda bukan pelindung negara! “Kita kena bertindak sekarang sebelum nasi jadi bubur. Tak mustahil negara pun dia akan jual jika dia tersepit.”

6. Salahkah apabila PM mengatakan akan mempertahankan wilayah Malaysia melalui meja perundingan? Walhal rundingan itu sangat penting untuk kita menyelesaikan konflik secara aman dan konstruktif, terutamanya dengan China yang merupakan kuasa terbesar dunia.

7. Dua nasihat saya. Pertama, jika pun kita berbeza politik kepartian, janganlah bermain dengan isu kedaulatan negara. Menuduh PM hendak menjual kedaulatan negara adalah tidak bertanggungjawab, tidak beretika, dan tidak bermoral.

8. Kedua, berpolitiklah dengan fakta. PM dan semua kita mahukan yang terbaik untuk negara. Tidak puas hati dengan keputusan PM, tegur dan kritiklah secara berhemah.

9. Dalam kehidupan bernegara, tanggungjawab utama kita adalah membawa naratif yang betul kepada masyarakat. Sama-sama kita jaga kedaulatan negara kita.

 

DR AGUS

JKOM