Biarkan berdepan cabaran namun kerajaan Persekutuan sedang
mempertimbangkan untuk mengembalikan semula perkhidmatan feri ikonik Pulau
Pinang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata cabaran dihadapi
pihaknya antara lain disebabkan terminal lama untuk perkhidmatan feri itu sudah
diubah suai bagi kegunaan feri baharu yang hanya membawa penumpang pejalan kaki
dan penunggang motosikal.
"Memang kita mahu mengembalikan operasi feri-feri itu tapi
dalam bentuk apa kita akan lihat (sama ada) ia sebagai feri pelancongan, feri
roro atau feri muzium dan sebagainya.
"Feri yang membawa kereta sudah tentu memang ada permintaan
tapi kami berdepan cabaran untuk mengembalikan perkhidmatan itu dalam masa
terdekat.
"Projek pengubahsuaian terminal feri di kedua-dua belah
bahagian pulau dan Seberang Perai ketika ini tidak lagi boleh menampung operasi
feri ikonik melibatkan pergerakan kenderaan empat roda," katanya pada
lawatan sehari ke negeri itu.
Beliau turut memberitahu bahawa pihaknya akan membincangkan isu
itu dengan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) untuk melihat kesesuaian
perkhidmatan yang boleh diadakan melalui feri ikonik berkenaan.
Sebagai rekod, perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang ditamatkan
pada 2020 setelah beroperasi lebih 126 tahun.
Ia kemudian digantikan dengan perkhidmatan bot laju untuk membawa
penumpang individu dan feri untuk motosikal dan basikal.
Walau bagaimanapun bermula 1 Januari lalu, perkhidmatan feri untuk
motosikal dan basikal dihentikan sementara bagi memberi laluan kerja menaik
taraf dermaga di terminal feri Pangkalan Sultan Abdul Halim dan Pangkalan Raja
Tun Uda, di Georgetown.