Gesaan Ahli Parlimen Kubang Kerian dari Perikatan Nasional (PN)
supaya pengeluar sarung tangan, Top Glove berkongsi keuntungan dengan penoreh
getah bagi membantu meringankan beban dipersoal.
Biro Penerangan dan Komunikasi KEADILAN Kemaman berkata gesaan
Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man itu tidak lebih sekadar mencari
populariti kononnya mereka cakna terhadap isu rakyat.
Hal itu kerana inisiatif berkongsi keuntungan tidak pernah
disuarakan pemimpin Pas ketika mereka berada dalam kerajaan.
"Pada kemuncak pandemik Covid 19, syarikat Top Glove
mencatatkan keuntungan besar.
"Persoalannya kenapa cadangan ini tidak dibangkitkan ketika
itu sedangkan Pas adalah sebahagian daripada kerajaan, di mana Menteri
Perladangan dan Komoditi ketika itu adalah daripada Pas?" soal KEADILAN
Kemaman dalam satu kenyataan.
Semalam dalam perbahasan parlimen, Tuan Ibrahim melontar cadangan
supaya Top Glove mencontohi tindakan Padibernas Nasional Berhad (Bernas) yang
berkongsi keuntungan dengan pesawah.
Tuan Ibrahim berkata Top Glove telah mengaut keuntungan sebagai
pembekal sarung tangan ke seluruh dunia susulan penularan Covid-19 sebelum ini.
Sementara itu, KEADILAN Kemaman juga berasa hairan apabila Tuan
Ibrahim mahu inisiatif perkongsian yang diusahakan Perdana Menteri itu
dicontohi sedangkan ia sebelum ini ditentang oleh penyokong-penyokong Pas.
"Sebelum ini,banyak tohmahan dan persepsi buruk telah
dilemparkan oleh penyokong Pas terhadap inisiatif ini.
"Ironinya ahli parlimen Pas mengusulkan supaya Top Glove
mengambil langkah yang sama seperti Bernas," tambah kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu KEADILAN Kemaman menggesa orang ramai supaya tidak
terpengaruh dengan permainan politik Pas yang sebenarnya tiada tekad politik
untuk membela rakyat.
Gesaan itu, jelas kenyataan itu hanyalah cubaan Pas membina
persepsi bahawa mereka mampu mentadbir terutama ketika pilihanraya di beberapa
negeri akan diadakan tidak lama lagi.
"Sedangkan ketika Pas berada di dalam kerajaan tidak nampak
sebarang impak yang positif terhadap rakyat.
"Ucapan-ucapan pimpinan mereka hanyalah retorik kosong yang
menunggang isu agama dan bangsa untuk mempengaruhi rakyat supaya memberi
sokongan terhadap mereka," tegas kenyataan itu lagi.