AGENSI KERAJAAN DAN GLC MESTI DITERAJUI ORANG PARTI, ANWAR HARUS BERTEGAS KALI INI

 

Susulan beberapa lantikan politik oleh kerajaan kebelakangan ini, khususnya selepas Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilantik sebagai Pengerusi MARA, riuh rendah sekali lagi segelintir pihak dalam kumpulan masyarakat sivil menyanggah perkara itu.

Sebelum ini mereka kerapkali bersuara mengenai bantahan itu.

Mereka seterusnya melahirkan kekesalan kerana Anwar Ibrahim masih membenarkannya berlaku dalam kerajaan perpaduan ini.

Sehubungan itu, mereka menggesa Perdana Menteri agar segera menghentikan amalan tersebut, sambil menuntut sepatutnya golongan profesional yang dilantik, bukan orang politik.

Siapa sepatutnya menerajui GLC dan agensi kerajaan – orang politik atau golongan profesional?

Apa yang semua orang perlu faham dan sedar, termasuk kumpulan masyarakat sivil yang membantah itu, yang menang pilihan raya dan menerajui kerajaan adalah parti politik.

Parti politik yang bertanding dalam pilihan raya dan disebabkan itulah sebahagian besar menteri, kalau pun tidak semuanya, ialah orang politik belaka.

Parti yang akan membentangkan manifesto serta dasar demi kebaikan rakyat, maka hanya mereka yang faham perjuangan parti saja yang ada iltizam untuk melaksanakannya setelah berjaya menjadi kerajaan.

Dengan demikian, parti politik dan orang politik tidak boleh dipisahkan daripada berada dalam kerajaan, bukan saja sebagai menteri dan anggota pentadbiran, malah yang lain-lain yang bersesuaian.

Dalam konteks agensi kerajaan dan GLC atau syarikat berkaitan kerajaan, ia secara mudah difahami adalah di bawah penguasaan parti yang membentuk dan menguasai kerajaan.

Namanya pun agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan, maka sepatutnya tentulah orang politik yang sealiran dengan kerajaan yang harus menerajuinya.

Golongan profesional boleh berada dalam agensi kerajaan atau GLC sebagai Ketua Pengarah, Pengarah-Pengarah, CEO, pengurusan dan seterusnya.

Ia sama seperti dalam kementerian, sementara menteri adalah orang parti, tetapi KSN, KSU, ketua-ketua jabatan dan seterusnya adalah kakitangan awam.

Pengerusi atau peneraju agensi kerajaan atau GLC itu kena diberikan kepada orang politik agar perjalanan serta hala tujunya selari dengan aspirasi kerajaan yang dipimpin oleh parti yang berkuasa itu.

Dalam hal ini, meskipun dilantik daripada orang politik, lantikan peneraju itu bukanlah bermakna boleh dibuat secara semberono, sebaliknya wajib berdasarkan kelulusan, kemampuan, kebolehan, kewibawan dan latar belakang seseorang itu yang bersesuaian dengan jawatan tersebut.

Jangan ingat dalam parti politik tiada orang profesional dan hanya orang profesional yang tidak berparti atau tidak memegang jawatan dalam parti saja yang layak menerajui atau menjadi pengerusi agensi kerajaan dan GLC.

Kalau kita boleh menerima menteri dan anggota pentadbiran kerajaan daripada kalangan orang politik yang memenangi pilihan raya, tiada sebab kita tidak boleh menerima apabila agensi kerajaan dan GLC turut sama diterajui oleh orang politik daripada parti yang sama.

Lagi pun, setiap lima tahun, parti perlu kembali kepada rakyat untuk mendapatkan sokongan dan undi melalui pilihan raya.

Dengan lebih ramai orang politik yang berkebolehan menerajui agensi kerajaan dan GLC, ia secara tidak lamgsung akan menyebabkan parti lebih diyakini, dihormati dan dilihat benar-benar berfungsi kepada rakyat.

Bolehkah parti lebih dihormati dan menang lagi dalam pilihan raya jika selepas menjadi kerajaan, yang dapat banyak jawatan adalah kalangan profesional yang entah daripada mana-mana asul usul serta hala tuju jiwa politiknya?

Malah, dengan orang politik dan mereka yang berjawatan dalam parti menerajui agensi kerajaan dan GLC, mereka terbabit juga akan turun sama berkempen atau memainkan peranan setiap kali PRU diadakan.

Sebaliknya, jika orang profesional yang tidak berparti mengetuai agensi kerajaan atau GLC, mereka bukan saja tidak masuk campur ketika kempen PRU diadakan, malah mungkin membawa diri bercuti ke London, Paris, Milan dan sebagainya bersama keluarga masing-masing.

Akhirnya, siapa yang rugi?

Untuk menutup isu ini daripada terus diperdebatkan, Anwar tiada pilihan melainkan harus segera mengisi semua kekosongan dalam agensi kerajaan dan GLC dalam kadar yang segera dengan tidak ragu-ragu menempatkan pemimpin politik yang bersesuaian dan berkebolehan di jawatan-jawatan berkenaan.

Lagi lambat lantikan dilakukan, lagi macam-macam hal jadi cecehan.

Titik, noktah, fullstop. – ShahbudinHusin 14/03/2023.