Saya sokong kerajaan kerana SPRM siasat Pandora Papers
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang kadang kala mengkritik prestasi Kerajaan Perpaduan bagaimanapun menyatakan beliau menyokong usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat bekas menteri kerajaan yang terlibat dalam penyelewengan.
Katanya, usaha penyiasatan ke atas Pandora’s Papers dan pendedahan lain tidak pernah setuju untuk dilakukan oleh kerajaan terdahulu.
“Jika diminta saya berikan satu sebab mengapa saya sokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim walaupun kadang kala saya turut menegur?
“Jawapannya kerana SPRM sekarang sedang menyiasat mereka yang terlibat dalam pendedahan Pandora’s papers
“Masa PM Ismail Sabri, SPRM tak siasat. Nak bincang dalam Dewan Rakyat pun Speaker tak bagi. Masa Anwar Ibrahim dah jadi Perdana Menteri, barulah SPRM dapat keberaniannya semula untuk siasat isu Pandora’s Papers.
“Kalau ini bukan dianggap satu reformasi ataupun konsep pemerintahan Madani, maka kepada kawan kawan dalam Perikatan Nasional, saya tak tahulah macam mana lagi nak cakap,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, Hassan berharap SPRM yang ketika ini dikatakan sedang menyiasat beberapa nama besar ahli politik dalam Pandora’s Papers yang dibangkitkan Perdana Menteri ketika bergelar Ketua Pembangkang dahulu, agar menyiasat tanpa pilih kasih.
Katanya, banyak tokoh yang terlibat termasuk bekas Perdana Menteri (PM), bekas Timbalan PM, bekas Menteri Kewangan, gabenor, bekas Ketua Menteri atau keluarga mereka.
Katanya, belum tentu mereka semua bersalah melarikan wang keluar negara, maka satu siasatan perlu dijalankan secara bebas. Bagi yang tidak bersalah maka nama mereka akan bersih daripada tuduhan.
“Kasihan mereka semua yang tersenarai itu. Apa yang disebut di dalam Pandora’s Papers bukan semestinya betul dan benar.
“Taraf dokumen Pandora’s Papers itu masih dianggap hearsay atau dengar cakap. Kalau di mahkamah kebenaran kandungan tertulis dalam Pandora’s Papers itu perlu dibuktikan.
“Kalau gagal maka penerbit Pandora’s Papers telah melakukan fitnah.
“Jadi SPRM Malaysia perlu bersihkan nama-nama tokoh yang disenaraikan dalam Pandora’s Papers,” katanya lagi.
Namun, menurut Hassan, sekiranya ada yang terpalit dengan kes penyelewengan, lari dari cukai maka tindakan pendakwaan perlu disegerakan di mahkamah.