Kenyataan Halimah Ali guris perasaan peniaga – Razeef
Kenyataan seorang Ahli parlimen Pembangkang mengaitkan kualiti makanan dengan kemungkinan risiko kesihatan dianggap keterlaluan dan tidak wajar.
Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN, Razeef Rakimin berkata kenyataan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) yang mengaitkan hidangan di bawah jenama Menu Rahmah seolah-olah low quality dan memungkinkan risiko kesihatan adalah melampau.
“Ini merupakan satu kenyataan yang sangat biadap, seolah peniaga yang menyambut baik inisiatif Menu Rahmah akan menghidangkan makanan yang tidak berkualiti dan boleh menyebabkan penyakit.
“Sebagai salah seorang pengusaha gerai makanan, saya amat terkilan dengan kenyataan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Halimah dalam perbahasan di Dewan Rakyat semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 pada Khamis berkata, penyediaan makanan yang berharga rendah tidak sewajarnya menyebabkan golongan kurang berkemampuan mendapat hidangan yang bermutu rendah.
Wakil Rakyat Pas itu berkata, beliau bimbang mereka yang mendapat hidangan bermutu rendah itu terdedah kepada kanser, penyakit autoimmune, kepada autisme dan sebagainya
Petikan ucapan tersebut menjadi tular semalam dengan sebahagian warganet menganggap Halimah terkeliru apabila mengaitkan makanan dengan masalah autisme.
Bagi Razeef, walaupun memperkenalkan Menu Rahmah dengan harga RM5 ke bawah tidak bermakna kerajaan membenarkan peniaga menukar bahan masakan dengan bahan yang membahayakan kesihatan.
Peniaga juga, katanya, faham akan hal tersebut.
“Sebagai peniaga kita tahu menjaga kebersihan dan kualiti makanan yang dihidangkan. Sudah tentu kita tidak ingin pelanggan mendapat penyakit dari makanan yang dihidangkan kerana ia akan merisikokan perniagaan.
“Kedai saya sendiri, bahan masakan yang digunakan masih sama dan cara masakan masih sama, bersih dan sihat. Kita hanya mengurangkan sedikit kuantiti bagi menyesuaikan hidangan dengan harga.
“Walau untung tidak besar bagi satu hidangan namun dengan jualan yang lebih banyak dari sebelum ini kerana dijual dengan harga mampu, keuntungan perniagaan sebenarnya lebih baik daripada sebelum ini,” jelasnya
Sebagai rekod, Menu Rahmah merupakan inisiatif dibawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan makanan lengkap pada harga maksimum RM5.
Ia mengandungi hidangan yang dilengkapi karbohidrat dari nasi, protein – seperti ayam atau ikan – dan sayuran bagi memudahkan orang ramai terutama golongan tidak berkemampuan menikmati hidangan tengahari atau malam tanpa terlalu terbeban.
“Tuduhan yang dilemparkan Ahli Parlimen Kapar menjelaskan sikap pemimpin Perikatan Nasional yang hanya tahu mempertikai inisiatif baik untuk rakyat dengan tuduhan-tuduhan tidak berasas tanpa memperdulikan perasaan pengusaha perniagaan makanan,” kata Razeef lagi.