Susulan pendakwaan terhadap Wan
Saiful Wan Jan dan dua individu lain berkaitan rasuah Jana Wibawa, terdapat
kecenderungan daripada Bersatu untuk terus melompat kepada kesimpulan kononnya
sasaran sebenar SPRM ialah Mahiaddin Md Yasin.
Dikatakan Mahiaddin disasarkan bertujuan untuk melemahkan
Bersatu dan PN, bukan saja untuk menghadapi PRN di enam negeri tidak lama lagi,
bahkan bagi mendepani PRU16 akan datang.
Selain ada pemimpin Bersatu yang secara terbuka membuat dakwaan
sebegitu, sebuah video daripada individu yang mengaku dirinya sebagai
penyelidik bebas kepada Wan Saiful juga turut membuat tuduhan palsu dalam
konteks berkaitan terhadap SPRM.
Penyelidik bebas itu menyebut Wan Saiful ditawarkan RM10 juta
oleh SPRM sebagai ganjaran jika bekas Ketua Penerangan Bersatu itu sedia
memberi keterangan untuk mengenakan Mahiaddin.
Walaupun sudah memohon maaf, penyelidik itu kini sedang ditahan
SPRM dan berdepan kemungkinan didakwa kerana mengganggu siasatan.
Kalau ia pun nak membuat tuduhan sedemikian, logiknya daripada
mana SPRM nak dapat duit sebanyak RM10 juta itu?
Isunya dalam hal ini, kenapa Bersatu dan PN begitu cepat
melompat kepada kesimpulan bahawa Mahiaddin akan didakwa, sedangkan sebagaimana
kenyataan terbaru SPRM, siasatan terhadap bekas Perdana Menteri itu masih lagi
berjalan?
Apa yang mereka takutkan?
Lagi pun, apa masalahnya jika Presiden Bersatu dan Pengerusi PN
itu benar-benar didakwa?
Tidak bolehkah Mahiaddin didakwa di mahkamah jika terbukti ada
kesalahan telah diakukannya?
Apakah Mahiaddin seumpama malaikat yang tiada nafsu dan
terkecuali daripada melakukan kesalahan?
Berkaitan perkara ini, semua kita, khususnya penyokong Bersatu
dan PN, mereka haruslah bersikap terbuka dan berlapang dada terhadap siasatan
yang sedang dijalankan oleh SPRM.
Kalau terbukti ketika memegang jawatan Perdana Menteri sebelum
ini, beliau terlibat dalam rasuah, salah guna kuasa atau konflik kepentingan,
misalnya mengarahkan projek Jana Wibawa diberikan kepada anak menantu atau ahli
keluarganya atau Bersatu ada menerima wang daripada kontraktor-kontraktor yang
diluluskan projek itu, maka bersedialah menerima apa saja kemungkinan.
Pendakwaan sebegitu bukan merupakan pendakwaan terpilih atau
kerana dendam, tetapi disebabkan ada kesalahan telah dilakukan.
Jika tiada kesalahan ditemui atau bukti tidak mencukupi,
percayalah SPRM tidak akan mendakwa Mahiaddin dengan sesuka hati di penghujung
siasatan nanti.
Sama macam kes Najib Razak sebelum ini, walaupun beliau adalah
bekas Perdana Menteri, sama seperti Mahiaddin, malah anak Tun Razak lagi,
tetapi disebabkan ada kesalahan telah dilakukannya, itulah sebabnya beliau
didakwa, dibicara di mahkamah dan kini sedang menjalani hukuman di Penjara
Kajang.
Jadi, mengambil kira bahawa pendakwaan adalah berasaskan ada
kesalahan telah dilakukan, tidak harus ada sebarang masalah atau rasa gundah
jika Mahiaddin pun didakwa juga di mahkamah selepas ini.
Tiada salah, tiadalah masalah; buat salah, baru timbul masalah.
– ShahbudinHusin
23/02/2023.