Terima kasih YB atas peringatan.
Ye. Saya berketurunan Cina, generasi ketiga yang lahir di Malaysia (Sabah).
Datuk saya asal China, dulu bekerja subuh sampai malam sebagai tukang masak untuk orang British.
Mendiang datuk saya bekerja kuat untuk memberi kehidupan yang lebih baik kepada bapa saya.
Bapa saya pula bekerja kuat untuk memberi kehidupan yang lebih baik kepada saya.
Itulah sejarah saya, bapa saya dan mendiang datuk saya yang kami tidak boleh ubah.
Kami tidak diberi pilihan nak lahir kat mana, sebagai anak siapa, sebagai kaum apa.
Itu semua ketentuan Tuhan.
You can't change history, but you can decide your future.
Saya boleh pilih untuk mengubah nasib dan masa depan saya.
Dari kecil lagi ibu bapa saya mengajar saya rajin berfikir dan rajin bekerja.
Saya juga sentiasa diingatkan supaya tidak mencuri dan tidak asyik menyalahkan orang lain atas kegagalan sendiri.
Saya berpegang pada didikan mendiang datuk dan ibu bapa saya untuk bekerja keras dan tidak asyik menyalahkan orang lain.
Syukur. Syukur. Puji Tuhan. Hasilnya kehidupan saya sekarang lebih baik dan selesa jika dibandingkan dengan zaman remaja ibu bapa dan datuk nenek saya.
Bukan saya nak bangga atau riak, tetapi bersyukur kerana diasah sebegitu sejak kecil.
Melihat gambar yang dikongsi oleh YB, saya berterima kasih sahaja kerana mengingatkan saya bahawa orang yang dahulunya menarik beca bukan semestinya perlu menarik beca secara turun temurun.
Manusia boleh mengubah kehidupan sendiri dengan bekerja keras dan sentiasa memperbaiki diri.
Man jadda, wa jada.
Siapa yang bersungguh-sungguh maka pasti dia akan berhasil.