Kita mahu Sabah kukuh bawah pimpinan Hajiji, kata Anwar



Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu Ketua Menteri Hajiji Noor diberi
 ruang mencari formula yang baik untuk Sabah. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memberi restu kepada Hajiji Noor untuk terus memimpin Sabah.

Katanya, beliau mahu keadaan di Sabah kukuh di bawah pimpinan Hajiji, yang turut akan diberi ruang untuk berbincang dengan pimpinan Sabah lain bagi mencari formula terbaik demi kebaikan negeri itu.

“Saya ucap terima kasih kepada ketua menteri Hajiji dan rakan-rakan yang bersama mendengar semua pandangan, dan TPM (Timbalan Perdana Menteri) Ahmad Zahid Hamidi kerana kita mahu keadaan Sabah itu kukuh di bawah pimpinan Hajiji.

“Saya memberi restu kepada Hajiji sebagai ketua menteri,” katanya selepas menemui pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kediaman rasmi Hajiji di Sri Gaya, dekat sini.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, satu rang undang-undang (RUU) penting yang disyorkan beliau bersama Jemaah Menteri untuk mengembalikan hak Sabah akan dibentangkan dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Sidang khas DUN itu bagi meluluskan dua enakmen berkaitan pengurusan gas dan penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah.

Kemelut politik di Sabah bermula selepas Ketua Umno dan Barisan Nasional (BN) Sabah, Bung Moktar Radin menarik balik sokongan parti itu kepada Hajiji.

Bagaimanapun, lima ADUN BN tidak menuruti kehendaki parti, sebaliknya mereka menyokong Hajiji sebagai ketua menteri.

Kelmarin, Hajiji mengumumkan memiliki sokongan 44 daripada 79 ADUN untuk terus menerajui Sabah, menerusi akuan bersumpah yang diserahkan kepada Yang di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin.


No comments: