Jangan beri saya cenderahati, kata Anwar
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak tidak memberinya cenderahati kerana “budaya ini mesti dihentikan”.
“Saya hargai niat baik saudara saudari semua, tetapi ini tidak bersesuaian dengan etika pengurusan dan pimpinan serta ia membebankan rakyat,” katanya dalam catatan Facebook.
Isnin lalu, Anwar membatalkan tempahan Mercedes S600 oleh Jabatan Perdana Menteri. Katanya, tempahan itu dibuat perdana menteri terdahulu, tanpa menyebut sebarang nama.
Minggu lalu, Anwar turut mengulangi janjinya tidak akan menerima gaji sebagai perdana menteri.
Ketika berkempen untuk pilihan raya umum ke-15, pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, beliau tidak akan mengambil gaji jika dilantik perdana menteri sebagai tanda solidariti dengan rakyat yang bergelut dengan masalah kenaikan kos sara hidup.