Anwar mahu nasib peniaga, penjaja dibela
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kerajaan dan pihak berkuasa pembandaran memastikan keselesaan peniaga kecil dan penjaja berniaga di ibu kota serta bandar besar lainnya.
Hal itu dinyatakan beliau dalam Majlis Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 (HPPK 2022) yang dirasmikan oleh beliau, semalam.
Katanya, beliau telah memberi arahan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk memperbaiki kawasan peniaga kecil berniaga.
“Kota harus indah dan bersih bukan sahaja untuk gedung pencakar langit dan juga peniaga besar tapi mesti diselitkan dengan menyediakan kemudahan kepada peniaga dan penjaja di mana sahaja lorong, tempat awam yang memungkinkan mereka berniaga dengan selesa dengan kemudahan asas yang cukup
“Saya beri kepada bandaraya tempoh tiga bulan, ada penekanan ini dan harus cuba dilaksanakan dengan segera mungkin
“Ini harus dibantu oleh semua kementerian untuk menjadikan fokus kita ini betul betul merakyatkan ekonomi,” katanya.
Anwar menegaskan, ekonomi bukan hanya tertumpu kepada pelaburan asing dan syarikat besar tetapi beliau lebih bangga sekiranya rakyat biasa turut menikmati limpahan kemakmuran.
“Saya hadir pada hari ini untuk menyatakan bahawa saya akan lebih bangga kalau Kerajaan Perpaduan ini memberikan perhatian dan keutamaan menjaga dan memelihara serta memberi ruang yang cukup baik kepada penjaja dan penaga kecil.
“Tahun depan inshaAllah kita pastikan jemaah menteri supaya semua kementerian, termasuk Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan memberi fokus yang sama,” katanya lagi