Semua pihak diminta bantu kerajaan kawal inflasi
Usaha mengawal inflasi memerlukan kerjasama semua pihak, daripada kerajaan, peniaga sehinggalah kepada rakyat, kata Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli.
Mengulas Penerbitan Indeks Harga Pengguna (IHP) November 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia di Putrajaya semalam, Rafizi berkata walaupun indeks inflasi kekal di paras purata 4.0 peratus pada tiga bulan terakhir, namun angka itu masih perlu dikekang.
“Ini supaya ia tidak membebankan rakyat,” katanya pada sidang media selepas penerbitan laporan itu.
Jabatan Perangkaan Malaysia memaklumkan peningkatan tertinggi inflasi dicatatkan oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang merupakan perbelanjaan yang paling besar bagi isi rumah.
Empat negeri pula mencatat inflasi melebihi paras nasional 4.0 peratus iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (7.9 peratus), Selangor (4.8 peratus), Sarawak (4.7 peratus) dan Johor (4.2 peratus).
Sementara itu Rafizi berkata, kementeriannya giat membangunkan langkah segera untuk membaiki rantaian nilai di sebelah pembekal bagi memastikan harga tidak naik dan bekalan yang mencukupi.
Beberapa langkah sementara dan jangka pendek diambil kementerian lain sejak beberapa minggu lalu juga tegasnya diharap boleh menangani peningkatan inflasi.
“Kalau pun tidak mengurangkan inflasi Disember dan Januari, paling kurang mampu mengekang kenaikan inflasi,” tambahnya.
Mengulas tindakan yang boleh dimainkan pengguna, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, mereka boleh berperanan untuk menjadikan penawaran dan permintaan terhadap barangan lebih anjal.
Ia termasuk dengan tidak membeli produk yang dijual pada harga lebih mahal berbanding sebelum ini.
“Secara umum jika harga sesuatu barang menjadi mahal, pengguna akan kurang membeli dan itu akan memberi kesan akhirnya kepada harga yang dikenakan pembekal.
“Walaupun harga barang makanan dan minuman bukan alkohol terus naik, orang ramai terus membeli dan membayar pada harga yang lebih tinggi yang dikenakan oleh peniaga.
“Ini sedikit sebanyak menyumbang kepada kenaikan harga barang makanan dan minuman bukan alkohol yang terus naik dan dirasakan tidak turun.
“Seandainya pengguna tidak membeli atau menggunakan produk yang menawarkan harga yang tidak berpatutan, ia akan memberi gambaran kepada peniaga dan pembekal untuk tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan,” jelasnya lagi.