Pertandingan 4 penjuru di Tambun

 

IPOH: Kerusi Parlimen Tambun menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Perikatan Nasional, Pakatan Harapan, Barisan Nasional, dan Gerakan Tanah Air (GTA) pada PRU15 kali ini.

Perkara itu dimaklumkan Pengurus Pilihan Raya Parlimen Tambun, Mohamad Fariz Mohamad Hanip selepas tempoh menghantar pencalonan tamat jam 10 pagi tadi.

Ia menyaksikan pertembungan antara calon bertahan, Timbalan Pengerusi PN Ahmad Faizal Azumu; Pengerusi PH, Anwar Ibrahim; Ketua Umno Tambun, Aminuddin Hanafiah; dan calon GTA, Abdul Rahim Tahir.

Pada PRU14, Ahmad Faizal yang bertanding sebagai calon PKR menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon BN dan PAS, dengan majoriti 5,320 undi.

Sementara itu, DUN Manjoi menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan BN yang diwakili Azizul Kama Abdul Aziz, Asmuni Awi (PH) dan Hafez Sabri (PN).

DUN Hulu Kinta pula menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon BN, Mazlan Abdul Rahman, Muhamad Arafat Varisai Mahamad (PH), Puteri Holijah Mohd Rali (PN), dan calon Bebas, S Murugiah.