Saya meneliti pelancaran manifesto Perikatan Nasional (PN) oleh
Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam. Modal utama PN yang cuba disampaikan oleh
Muhyiddin semalam berkisar kepada beberapa perkara sahaja:
1. Tawaran-tawaran populis sebagai gula-gula pilihanraya untuk
memikat pengundi muda seperti pengurangan bayaran PTPTN kepada kumpulan sasar
yang lebih besar
2. Rekod penyelewengan PN yang dikatakan lebih bersih dari BN
dan PH
Sebagai Pengarah Pilihanraya dan jurucakap kempen PRU15 bagi
pihak KEADILAN, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memberi reaksi awal
kepada manifesto PN semalam. Saya yakin kepincangan-kepincangan pentadbiran PN
selama 18 bulan dan tawaran manifesto akan terus mendapat perhatian rakyat
sepanjang tempoh berkempen dua minggu ini.
Bidasan awal saya pada hari ini mencakupi perkara-perkara
berikut:
PERTAMA: REKOD PENTADBIRAN PN YANG GAGAL SELAMA 18 BULAN
Pentadbiran Muhyiddin dan PN akan diingati kerana memecahkan
beberapa rekod dalam sejarah negara kita.
Ia pentadbiran seorang Perdana Menteri yang paling pendek dalam
sejarah negara iaitu 18 bulan.
PN juga ditubuhkan atas pengkhianatan wakil-wakil rakyat PH dan
BN yang memesongkan mandat rakyat dalam PRU14 demi jawatan dalam kerajaan.
Hasilnya adalah sebuah kerajaan persekutuan yang tidak stabil kerana
mengumpulkan kembali musuh-musuh politik yang berpecah belah dari UMNO, BERSATU
dan PAS tetapi duduk dalam satu kerajaan demi jawatan.
Sebab itu, tempoh pentadbiran 18 bulan PN diingati dalam lipatan
sejarah negara sebagai tempoh yang paling sengsara dan paling tidak stabil.
Di bawah pentadbiran Muhyiddin dan PN sebagai Perdana Menteri,
rakyat melalui dua tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang yang
memusnahkan ekonomi rakyat biasa.
Tindakan-tindakan itu tidak pula berjaya menguruskan wabak
Covid-19 dengan baik apabila negara mencatatkan 4.92 juta kes dan kematian 36,
482 orang (yang memuncak semasa PN mentadbir negara). Ini adalah rekod kematian
yang paling tinggi yang berpunca dari satu wabak yang pernah dicatatkan dalam
sejarah negara kita.
Kegagalan menguruskan wabak Covid-19 juga meninggalkan kesan
ekonomi yang berpanjangan yang memusnahkan kehidupan rakyat terbanyak. Tempoh
sengsara itu akan diingati selama-lamanya dengan peristiwa #BenderaPutih
dan #KitaJagaKita
apabila rakyat terpaksa bantu-membantu dalam serba kekurangan untuk meringankan
beban golongan termiskin.
Pentadbiran Muhyiddin dicemarkan lagi apabila beliau menggunakan
darurat untuk kekal berkuasa. Ia satu lagi rekod penggunaan darurat semasa aman
yang terpanjang dalam negara kita sehingga menimbulkan kenyataan-kenyataan yang
dilihat bercanggah dengan institusi raja-raja.
Muhyiddin akhirnya terpaksa meletakkan jawatan di kala jumlah kematian
rakyat akibat Covid-19 semakin memuncak.
KEDUA: TAWARAN DALAM MANIFESTO TIDAK DILAKSANAKAN SEMASA MENJADI
KERAJAAN
Antara tawaran-tawaran populis adalah potongan pembayaran balik
PTPTN kepada golongan sasaran yang lebih besar iaitu termasuk peminjam yang
tidak mendapat ijazah kelas pertama.
Muhyiddin dan PN lupa bahawa sejak 2018, BERSATU dan PN mengawal
hala tuju dan pentadbiran PTPTN sepenuhnya melalui pemimpin kanan BERSATU iaitu
Wan Saiful Wan Jan. Beliau adalah antara lantikan politik dari BERSATU yang
pertama sebagai Pengerusi PTPTN.
Sepanjang empat tahun memimpin PTPTN, tidak ada satu
penyelesaian menyeluruh yang dibawa Wan Saiful untuk menangani kemelut
pembiayaan pendidikan tinggi negara. Akibat pentadbirannya yang lemah, PTPTN
menjadi bahan kritikan rakyat yang hebat.
Logiknya, sebarang tawaran yang hendak dibuat mengenai PTPTN
boleh dibuat serta merta dahulu semasa PN menduduki kerusi Perdana Menteri dan
Pengerusi PTPTN.
Ia tidak berlaku.
Sebab itu, adalah menjadi kebodohan untuk cuba memikat hati
rakyat sekali lagi mengenai tawaran-tawaran PTPTN kerana peluang keemasan itu
telah diberikan kepada PN selama empat tahun.
Mereka gagal sebelum ini dan mereka akan gagal jika mereka dekat
dengan PTPTN sekali lagi.
Lebih-lebih lagi apabila tawaran-tawaran itu tidak dibuktikan
dapat dilaksanakan dalam keadaan kekangan kewangan yang ada. Sekarang pun,
PTPTN terpaksa meminjam dari institusi kewangan swasta pada kadar komersial dan
memberi pinjaman pada kadar yang lebih rendah, tanpa berjaya mengutip pinjaman
sepenuhnya. Ia menyebabkan kedudukan kewangan PTPTN semakin pincang setiap
tahun.
Jika sekarang pun PTPTN tidak mampu mempunyai aliran tunai yang
stabil, bagaimana pula ia boleh berbelanja lebih banyak untuk memberi pelepasan
pinjaman kepada golongan yang lebih besar.
KETIGA: PIMPINAN BERSATU/PN TERPALIT DENGAN SKANDAL BESAR NEGARA
Sehingga kini, Muhyiddin dan PN tidak pun menafikan keterlibatan
pimpinan-pimpinan kanannya dalam skandal-skandal mutakhir negara.
Umum mengetahui bahawa Latiff Ahmad, bekas menteri BERSATU
adalah tokoh politik yang dinamakan di dalam laporan audit forensik mengenai
kelewatan projek LCS.
Syarikat Alizes Marine Ltd, sebuah syarikat palsu yang dinamakan
terlibat menyeleweng sehingga lebih RM200 juta peruntukan projek-projek
pertahanan laut negara adalah syarikat yang dikaitkan dengan Latiff Ahmad.
Sehingga kini, BERSATU tidak memberi sebarang penjelasan atau
menafikan perkara ini. Latiff Ahmad pula tidak menyaman saya kecuali membuat
satu laporan polis. Tindakan BERSATU seolah-olah mahu perkara ini dilupakan
begitu sahaja oleh rakyat.
Dalam tempoh berkempen ini, saya akan tunjukkan pula bagaimana
seorang lagi pimpinan kanan BERSATU, Ikmal Hisham Abdul Aziz (bekas Timbalan
Menteri Pertahanan) terpalit dengan kontroversi perbekalan meriam artileri
(self-propelled Howitzer, SPH) yang turut menjadi isu besar di kalangan
pengurusan angkatan tentera.
Sehingga kini juga, Muhyiddin dan PN tidak berjaya menangkis
bukti-bukti yang telah ditunjukkan setakat ini.
Sebab itu, Muhyiddin dan PN adalah golongan terakhir yang boleh
mendabik dada kononnya mereka bersih. Semasa KEADILAN mengambil langkah berani
mengisytiharkan harta, tidak ada seorang pun pemimpin dari BERSATU yang berani
mengisytiharkan harta sedangkan pandangan umum rakyat ialah ahli politik yang
tidak berani mengisytiharkan harta ada sesuatu yang disembunyikan.
Saya menyeru supaya pengundi-pengundi tidak lupa rekod kegagalan
pentadbiran Muhyiddin dan PN selama 18 bulan.
Walaupun tempoh 18 bulan itu bunyinya pendek, ia adalah tempoh
yang paling sengsara yang mengakibatkan kematian yang paling tinggi dalam
sejarah negara kita.
Memberikan undi kepada PN samalah seperti kita mengundang
kembali pengalaman sengsara 18 bulan itu.
RAFIZI RAMLI