PETALING JAYA: Polis mengesahkan lelaki yang menurunkan bendera Pakatan Harapan (PH) di hadapan Muzium Negara dalam klip video tular sebenarnya berbuat demikian atas arahan parti.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Amihizam Abdul Shukor berkata, lelaki itu adalah ejen pemantau PH dan menurunkan bendera berdasarkan arahan.
“Arahan itu dikeluarkan ketua Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP KPR) P121-01, bersama wakil polis PP KPR Lembah Pantai.
“Arahan itu juga dikeluarkan selepas perbincangan dengan wakil calon kerana pemasangan bendera itu menutup pagar hadapan Muzium Negara,” katanya dalam kenyataan.
Tindakan seorang lelaki menurunkan bendera PH yang dirakam dan disebarkan seorang individu di media sosial tanpa bertanyakan tujuan lelaki itu berbuat demikian.
Amihizam menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan sebarang video atau maklumat sebelum menyemak kesahihannya.
“Tindakan tidak bertanggungjawab ini boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.
“Orang ramai juga diingatkan tidak melakukan perbuatan bercanggah undang-undang dan peraturan bagi memelihara keamanan sepanjang tempoh berkempen.”