‘Ketakutan’ terhadap PAS jadi halangan GPS kerjasama PN.
PETALING JAYA: Gabungan Parti Sarawak (GPS) dikatakan berbalah mengenai rancangan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan persekutuan, menurut sumber dalam gabungan itu.
Seorang wakil rakyat GPS mendedahkan kepada FMT bahawa ada “ketakutan” dalam kalangan mereka tentang bekerjasama dengan parti komponen PN iaitu PAS.
“Oleh itu, kita patut bekerjasama dengan Pakatan Harapan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan komen-komen Presiden PAS Hadi Awang, yang dikatakan menyinggung rakyat Sarawak.
Semalam, Pengerusi GPS, Abang Johari Openg, berkata ia akan bergabung dengan PN, Barisan Nasional (BN), dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menubuhkan kerajaan baharu.
Johari berkata, GPS mahu bekerjasama dengan tiga gabungan itu untuk memastikan kerajaan yang stabil terbentuk segera.
BN bagaimanapun menafikan dakwaan itu. Pengerusi Ahmad Zahid Hamidi berkata BN tidak pernah – pada ketika itu – berunding dengan GPS dan PN berhubung perkara itu.
Seorang Ahli Parlimen GPS memberitahu FMT bahawa wakil-wakil rakyat seangkatan tidak gembira tentang bekerjasama dengan PN.
“Sepatutnya rujuk kami dahulu sebelum Abang Johari buat keputusan.”
Sumber juga memberitahu FMT bahawa keputusan GPS berkerjasama dengan PN dibuat kerana berpendapat BN akan turut serta dalam gabungan itu.
Sementara itu, seorang Ahli Parlimen PH percaya Abang Johari telah bertindak sebelum masanya.
“Selepas Abang Johari menghadapi tekanan, ada tanda-tanda beliau mahu bekerjasama dengan kami,” katanya.
Ditanya mengenai kebarangkalian GPS bekerjasama dengan PH, sumber itu berkata “barangkali”.
Terdahulu, Pengerusi PH, Anwar Ibrahim optimis gabungan itu akan dapat bentuk kerajaan bersama BN.
Anwar pada sidang media mengesahkan wakil kedua-dua gabungan itu telah bertemu pagi tadi.