Tangkap layar kenyataan
media dalam hantaran Facebook di laman Istana Negara.
Istana Negara hari ini (6 Oktober 2022) menjelaskan pertemuan
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah
Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hanyalah aktiviti mingguan dengan Perdana
Menteri.
Dalam
kenyataan hari ini selepas Baginda berkenan menghadap Perdana Menteri, Istana
Negara berkata pertemuan itu adalah untuk mesyuarat Pra-Kabinet.
“KDYMM Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap YAB Perdana
Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana
Negara, hari ini.
“Mesyuarat
Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka
Baginda untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama YAB Perdana Menteri
berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu tidak menyebut langsung mengenai Perdana Menteri
memohon perkenan untuk membubarkan Parlimen.
Perdana
Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong, selama kira-kira 45 minit di Istana
Negara, petang tadi.
Ismail Sabri
yang juga Naib Presiden UMNO dilihat tiba di pintu masuk Istana Negara jam 3.48
petang tadi, sebelum kenderaan Toyota Alphard berwarna putih membawa beliau
keluar kira-kira jam 4.45 petang.
Sementara
itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa mengesahkan
mesyuarat Kabinet akan diadakan esok (Jumaat), sekali gus memberi petunjuk
Parlimen tidak akan dibubarkan pada hari berkenaan.