Abdul Ghafur (tiga kiri)
duduk sebelah Anwar dalam siri jelajahnya ke Sabah hari ini.
Kemunculan bekas Ahli Parlimen
Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghafur Salleh mengiringi Pengerusi Pakatan Harapan
(PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sebuah majlis di Tawau menimbulkan
persoalan mengenai status bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu dalam UMNO.
Bekas
Ketua UMNO Bahagian Kalabakan itu sendiri mendakwa beliau sendiri keliru dengan
status keahliannya dalam parti Melayu terbesar itu tetapi percaya namanya sudah
digugurkan selepas perubahan kepemimpinan bahagian itu sejurus Pilihan Raya
Umum ke-14 (PRU-14).
“Saya
ahli UMNO seumur hidup tetapi apabila satu kumpulan ambil alih Bahagian
(kepemimpinan UMNO Bahagian Kalakaban), mereka buang saya daripada UMNO
Kalabakan,” katanya ketika ditemui pada program Jelajah Pengerusi PH dihadiri
Anwar, hari ini (23 Oktober 2022), lapor Berita Harian.
Namun
beliau yang juga bekas Menteri Kewangan Sabah dan bekas Timbalan Pengerusi UMNO
Sabah itu berkata jika benar dirinya dibuang daripada parti perkara itu tidak
melalui proses sepatutnya.
“Sebenarnya, mereka (bahagian)
tidak ada kuasa, hanya Majlis Kerja Tertinggi (MKT) ada kuasa untuk buang,”
kata Abdul Ghafur, 79 dan mempertikai tindakan UMNO Kalabakan yang
disifatkannya bertindak sesuka hati tanpa merujuk perlembagaan parti.
“Saya
ada merujuk kepada Biro Perhubungan UMNO Pusat untuk siasatan namun sehingga
kini tiada sebarang perkembangan. Jadi, sekarang saya bolehlah dianggap orang
yang tidak ada parti. Saya bebas menyatakan sokongan kepada mana-mana parti
yang saya suka,” katanya yang menyokong PKR pada PRU-15 nanti.