NIK HASYUDEEN
Budaya “biasa-biasa sahaja”
Di dalam pengurusan organisasi, di antara perkara yang
merosakkan secara senyap-senyap ialah membudayakan “biasa-biasa sahaja” atau
pun apa yang omputih panggil “mediocrity”.
Ianya umpama api yang membakar di dalam sekam. Tidak nampak
apinya tetapi akhirnya habis sekam menjadi abu.
Di antara contoh-contoh budaya ini di dalam organisasi ialah:
1. Nampak macam sibuk bekerja tetapi tidak ada apa yang
dihasilkan.
2. Bekerja tanpa memahami halatuju dan akhirnya organisasi tak
ke mana-mana.
3. Perkara yang boleh disiapkan dalam sejam dua mengambil masa
berhari-hari untuk disiapkan.
4. Benda yang sepatutnya dibeli dengan harga RM 1 dibayar dengan
harga beringgit-ringgit.
5. Walaupun sudah RM 6 bilion dibayar, sebiji kapal LCS pun tak
siap (didalam konteks keselamatan negara, ini mungkin sudah menjadi
pengkhianatan).
Janganlah diharapkan organisasi boleh jadi cemerlang sekiranya
“biasa-biasa” sudah menjadi budaya. Yang lebih teruk ialah apabila orang-orang
yang mahu menjadi cemerlang dianggap kacau daun kerana menyebabkan apa yang
sudah dibiasalan nampak benar-benar lembab dan menjijikan. Maka tekanan dibuat
ke atas orang yang nak cemerlang itu agar “kembali ke pangkal jalan” dan
menjadi biasa-biasa sahaja.
Apabila budaya biasa-biasa sudah menjadi endemik (diterima
ramai) maka sebuah negara pun boleh “maju” ke belakang . Ini
adalah kerana semua aspek kehidupan dibiasa-biasakan sahaja.
Contohnya, di dalam bidang pendidikan. Jika orang-orang
biasa-biasa menjadi guru, bagaimana pula keadaan murid-murid mereka? Orang
tua-tua kata “jika guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari. Semua anak
murid boleh diberikan “A” bagi setiap mata pelajaran tetapi nilainya pun
“biasa-biasa” sajalah. Kalau dapat “A” yang bersusun pun di universiti, bila
masuk bekerja tak tahu apa yang nak diamalkan.
Masyarakat yang sudah membudayakan “biasa-biasa” tidak akan
memperdulikan siapa yang diangkat sebagai pemimpin. Hanya setakat “orang kita”
atau pun “puak kita” sudah cukup. Kalau ada gelaran, lagilah nampak layak
walaupun kadang-kadang mereka pun tak faham bagaimana gelaran tu dikurniakan.
Sudah berapa ramai orang-orang bergelar sudah dipenjarakan.
Di dalam hadis Jibrail yang terkenal itu, selain dari Iman dan
Islam ada juga Ihsan. Apabila kita sentiasa sedar kita diperhatikan oleh Allah,
bukan sahaja kita takut berbuat dosa tetapi tentunya mahu cemerlang di dalam
setiap tingkah laku kita. Inilah sebabnya Ihsan juga ditafsirkan sebagai
kecemerlangan atau pun excellence. Konsep ini separutnya mendorong orang Islam
menjadi hebat dan keluar dari budaya “biasa-biasa” sahaja.
Jika kita mahukan setiap aspek kehidupan menjadi ibadah kepada
Allah, tentunya sifat “biasa-biasa” ini tidak sesuai. Kena ada penambahan
prestasi di dalam apa sahaja yang kita lakukan dari solah sehinggalah pekerjaan
harian. Nak buat dosa seperti rasuah dan salahguna kuasa jauh sekali. Jika kita
seorang pekerja, kita akan pastikan prestasi kerja kita sudah cukup untuk
menghalalkan gaji yang kita terima setiap bulan. Malah ditambah itu dan ini
agar nampak lebih cantik apabila dihisab oleh Allah di akhirat.
Semoga memberi manfaat, والله أعلم