Apa nasib projek 5G: Kalau kerajaan ikut cara PH tidak sangkut - Fahmi



Nasib projek spektrum 5G Malaysia menggunakan platform Single Wholesale Network (SWN) atau monopoli satu syarikat sebagaimana dicadangkan oleh Kementerian Kewangan serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia kini menjadi tanda tanya.


Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Fahmi Fadzil, cadangan monopoli melalui Digital Nasional Berhad (DNB) itu nampaknya kurang diyakini berdasarkan laporan Reuters semalam bahawa 2 syarikat utama telekomunikasi menarik diri.


"Berdasarkan laporan berita Reuters ini, kelihatan model pemilikan ekuiti yang dicadangkan masih hadapi pelbagai rintangan.


"Saya difahamkan DNB juga lewat dalam rollout menara-menara 5G. Sepatutnya sudah cecah 4,500 tetapi lebih kurang separuh sahaja yang telah sedia. Ini belum mengambil kira pemasangan fiber ke menara-menara tersebut.


"Apakah kesan kelewatan-kelewatan ini, contohnya terhadap kontrak-kontrak yang ditandatangani DNB? Adakah ia akan ada sebarang kesan kepada pemilik ekuiti, atau tidak?" tanyanya.


Ahli Parlimen Lembah Pantai itu seterusnya mahu Menteri Komunikasi dan Multimedia menerangkan apakah langkah selanjutnya yang mahu dilakukan oleh kerajaan


Beliau juga kesal kerana kerajaan enggan melaksanakan polisi pentadbiran Pakatan Harapan dahulu yang mahu memberi terus spektrum 5G kepada operator telekomunikasi sedia ada tanpa ada syarikat lain milik kerajaan yang mengawalnya.


"Kalaulah Kerajaan teruskan pemberian spektrum macam yang dirancang Gobind Singh (Menteri Komunikasi PH), atau macam waktu Saifuddin Abdullah (Menteri PN) dulu, by now kita mungkin dah ada 5G. Tapi apakan daya… tak sempat…


"Kita cuma tak nak budaya Mat Sakau (budaya ambik apa yang sempat) meresap ke dalam isu 5G ini pula," sinis Fahmi.


Terbaharu, DNB selaku pemborong tunggal 5G di Malaysia memberitahu bahawa perbincangan dengan kesemua 6 syarikat 'telco' masih berjalan dan masing-masing diadakan secara berasingan.


Hal itu, berlaku setelah tempoh akhir untuk menandatangani perjanjian bersama telco pada 31 Ogos lalu tidak menjadi kenyataan apabila dua syarikat telco menarik diri pada saat akhir.

 

No comments: