Peja tak perlu sindir Anwar, kalau berani tunggu saja di Tambun
Spekulasi Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di kerusi parlimen Tambun dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 mendapatkan reaksi berlebihan daripada Ahli Parlimen Tambun Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
Faizal atau nama timangannya Peja menyindir kononnya Anwar Ahli Parlimen nomad yang sering berpindah randah sepanjang karier politik beliau.
Bagi Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN asal Perak, Siti Aishah Shaik Ismail, sindiran Peja itu amat melampau memandangkan usia politik beliau yang setahun jagung, dan tidak merujuk tokoh tokoh politik besar Malaysia yang juga banyak kali berpindah kerusi.
“Saya meneliti kenyataan yang dikeluarkan oleh Peja yang secara sinis menyindir Datuk Seri Anwar yang dikatakan akan bertanding di Parlimen Tambun pada PRU15 nanti.
“Walaupun ia masih dalam peringkat cadangan dan penelitian namun reaksi Peja itu dilihat sebagai tergesa-gesa dan memperlihatkan bahawa beliau takut untuk menghadapi Datuk Seri Anwar,” katanya.
Tegas Siti Aishah, sekiranya Peja menjaga kawasan beliau dengan baik maka cabaran tokoh sebesar mana pun tidak akan mampu mengalahkannya.
“Peja seharusnya lebih bersikap tenang kerana pilihan raya ialah medan terbuka bagi rakyat memilih siapa yang mahu diwakili mereka.
“Menyifatkan Datuk Seri Anwar sebagai Ahli Parlimen nomad pastinya memberikan kelebihan buat Peja di laman sendiri,” katanya.
Sebaliknya dengan spekulasi Anwar akan bertanding di Tambun, kata Siti Aishah, menandakan KEADILAN akan memberi cabaran sengit di kerusi berkenaan biar pun bukan Anwar yang akan diletakkan sebagai calon dalam pilihan raya nanti.
“KEADILAN hari ini menyatakan perlawanan terbuka kepada Peja untuk kekal di Parlimen Tambun dan membuktikan beliau masih relevan dan berhadapan dengan Datuk Seri Anwar seandainya beliau memilih kerusi Parlimen ini sebagai medan pertempuran dalam PRU15 nanti.
“Duduk dan jangan lari, biar rakyat buktikan siapa lebih baik untuk mengemudi mereka (rakyat),” katanya lagi.