Sistem kesan produk tembakau, kenapa tiada tender terbuka?
Spekulasi wujud beberapa syarikat mencuba memasukkan cadangan membina sistem pengesan digital produk tembakau bersesuaian dengan penguatkuasaan akta larangan penjualan produk tembakau yang bakal diluluskan Parlimen menimbulkan tanda tanya.
Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, laporan The Star semalam menimbulkan kekhuatiran apakah terdapat syarikat yang akan diberi kontrak secara runding terus untuk membangunkan sistem tersebut.
“Semalam The Star lapor sumber mendakwa ada pihak bawa proposal digital tracking system, yang dikhabarkan boleh atau akan diguna bila larangan produk tembakau dll berkuatkuasa.
“Tambahan, sumber dakwa projek akan diberi secara rundingan terus (kepada syarikat terpilih) tanpa tender terbuka.
“Pohon penjelasan penuh dan segera dari Kementerian Kesihatan Malaysia. This is a serious accusation. Adakah dakwaan ini benar? Siapa yang terlibat?” tanyanya.
Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia itu juga tertanya tanya mengenai kos membangunkan sistem, apakah tujuannya dan pihak mana yang akan menanggungnya.
“Berapakah kos yang dimaksudkan? Bayaran one-off atau setiap tahun bagi sejumlah tahun?
“Kenapa perlu sistem ini?
“Oleh kerana sebarang implikasi kewangan melibatkan wang ringgit rakyat perlu diluluskan Parlimen Malaysia, penjelasan penuh wajib diberi,” katanya lagi.