BUDAYA TAK BERGUNA KETUA PENGARAH PERKHIDMATAN AWAM. GAJI KAU RAKYAT BAYAR

 


Tengking pegawai imigresen di KLIA, kesatuan kecam KP perkhidmatan awam





Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) berkata, sikap ketua pengarah itu yang mahukan layanan VVIP menunjukkan sifat pentingkan diri dan tidak cakna dengan kesusahan rakyat dan orang awam lain.

PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) menuntut ketua pengarah perkhidmatan awam membuat permohonan maaf terbuka susulan dakwaan tindakan menengking dengan kata kesat terhadap pegawai imigresen, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Presiden KPISM Khairil Niza Khairuddin, berkata kejadian itu berlaku pagi hari ini, antara 8.40 pagi hingga 9.40 pagi, di Balai Berlepas, KLIA.

“Insiden bermula apabila tiada pegawai imigresen ditempatkan di kaunter bilik VIP KLIA. Sememangnya pegawai imigresen tidak ditempatkan di kaunter bilik VIP secara 24 jam kerana keperluan pegawai bertugas di kaunter biasa lebih memerlukan, berbanding kaunter bilik VIP yang hanya akan dibuka apabila ada keperluan dan mendapat pemakluman awal.

“Pegawai imigresen yang bertugas di KLIA telah dipanggil dan ditengking, diherdik dan diminta supaya berdiri tegak di tengah khalayak ramai. Tindakan tidak profesional oleh seorang pegawai tertinggi kerajaan ini dengan kata-kata yang dilepaskan dalam nada menengking di hadapan orang ramai dan kakitangan imigresen lain yang sedang bertugas merupakan satu sikap biadap serta tidak menghormati entiti perkhidmatan awam itu sendiri,” katanya dalam kenyataan.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Beliau berkata, pegawai imigresen lain yang berada di tempat kejadian turut merasa terhina di khalayak ramai atas tindakan tersebut.

Katanya, sikap ketua pengarah itu yang mahukan layanan VVIP juga menunjukkan sifat pentingkan diri dan tidak cakna dengan kesusahan rakyat dan orang awam lain yang sabar beratur dan menunggu giliran dalam melepasi pemeriksaan di kaunter biasa yang lain.

“Kejadian ini amat mengguris hati pegawai imigresen lain keseluruhannya,” katanya.

Khairil turut menggesa kerajaan dan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memandang serius perkara terbabit, selain menuntut ketua pengarah itu yang disifatkan “sombong” serta “angkuh” dikenakan tindakan.

“KPISM juga menyokong penuh segala tindakan yang akan diambil oleh Ketua Pengarah Imigresen Malaysia dalam perkara ini demi memartabatkan maruah pegawai di Jabatan Imigresen Malaysia. Seharusnya seorang pegawai tertinggi perkhidmatan awam perlu menunjukkan contoh dan teladan yang baik dan positif kepada penjawat awam yang lain serta kepada rakyat keseluruhannya,” katanya.