IMBASAN
Saya mula perasan mengenai 1MDB tahun 2011
selepas syarikat itu membayar berbilion ringgit untuk membeli blok minyak
mentah melibatkan PetroSaudi.
Pada ketika itu, baru dua tahun saya
meninggalkan dunia oil & gas. Masih ramai kawan-kawan dalam O&G dan saya
juga masih mengikuti dengan dekat perkembangan O&G. Maklumat dari dunia
O&G ketika itu mempersoalkan sama ada blok yang dibeli itu benar-benar
wujud. Lagi pun, jika benar wang rakyat mahu digunakan untuk membeli blok
minyak, bukankan lebih baik melalui PETRONAS?
Saya pernah selit soal 1MDB dalam
ucapan-ucapan sepanjang 2011-2012 tetapi tidak ke mana sebab tiada bukti yang
sahih.
Kenyataan saya yang pertama ialah pada 23
April 2013 kerana berita melaporkan 1MDB memindahkan sejumlah RM7 bilion ke
akaun sulit di Cayman Island, pusat kewangan pesisir pantai (“offshore
financial centre”). Saya mula kenal mengenai Cayman Island seawal belasan tahun
dari membaca buku The Firm tulisan John Grisham. Sebagai akauntan, saya tahu
Cayman Island tempat wang disembunyikan.
Ini kenyataan rasmi pertama saya mengenai
1MDB pada 23 April 2013:
https://rafiziramli.com/2013/04/1mdb-pindah-rm7-bilion-wang-rakyat-ke-akaun-sulit/
Seminggu selepas kenyataan ini, saya menerima
surat saman pertama mengenai kes 1MDB (dah banyak saman lain mengenai kes NFC
sebelum itu ha3). Saya belum lagi menjadi Ahli Parlimen ketika itu.
Di antara tahun 2013 hingga sekarang, saya
telah menulis 123 artikel dan kenyataan media mengenai SRC dan 1MDB. Kesemuanya
saya arkibkan di sini:
https://rafiziramli.com/category/1mdb/page/25/
Sembilan tahun hidup saya dihabiskan mengejar
kes SRC/1MDB dan dalang-dalang dibelakangnya.
Semasa saya berkempen ke arah PRU14 dahulu,
saya sering berseloroh bahawa saya akan membawa trak saya untuk menjemput Najib
ke penjara atas tindakannya melalui SRC/1MDB yang menyebabkan rakyat berhutang
lebih RM50 bilion.
Peristiwa hari ini bukan satu kemenangan
kepada sesiapa. Ia satu tragedi kepada negara dan rakyat, wang yang hilang itu
tidak akan kembali. Skandal SRC/1MDB memecah belahkan rakyat dan negara. Banyak
individu yang menanggung kepayahan untuk memastikan kebenaran ditegakkan.
Peristiwa hari ini satu keinsafan bahawa kita
hanya manusia yang mengikut ketentuan Allah, tidak kira apa darjat dan
kedudukan kita di mata manusia lain.
Semoga kita diampunkan atas semua dosa-dosa
dan kesalahan kita.