Jangan cakap rasuah tetapi sekongkol dengan perasuah
Ungkapan Presiden Pas, Hj Hadi Awang yang mendakwa sebahagian besar pelaku rasuah di Malaysia adalah orang bukan Islam dan bukan bumiputera dibidas oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, perkara utama adalah melawan rasuah, bukannya beretorik anti rasuah tetapi pihak yang sama duduk dalam kerajaan dianggotai kleptokrat.
“Tidak boleh guna isu ini sekadar menghangat suasana kerana kita sebagai orang Islam perlu lebih bertanggungjawab dengan apa yang kita ungkapkan. Keputusan kita mesti perangi rasuah sehingga ke akar umbi dengan tegas dan keras.
“Jangan kita lawan rasuah tetapi bersekongkol dengan perasuah. Jangan kita menentang rasuah kemudian padam rasuah di sekeliling kita.
“Jangan lawan kleptokrat satu kumpulan, kekal kleptokrat kumpulan lain. Jangan orang bicara hal rasuah, lihat akaun peribadinya, anak pinaknya, berbilion ringgit. Jadi orang benci dengan keadaan ini. Semua bicara rasuah, semua terpalit rasuah,” katanya dalam siaran media, malam tadi.
Anwar yang juga Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia menasihatkan Hj Hadi selepas ini agar membawa fakta dalam kenaytaannya.
Rasuah, kata Anwar, tidak boleh dikaitkan dengan sesuatu kaum atau agama.
“Saya teliti kenyataan ustaz Hadi Awang tetapi tidak ada sandaran atau kajian untuk membuktikan.
“Pendirian saya jelas, kita harus banteras rasuah sesungguhnya, sama ada Melayu, Cina, India kerana ini telah sampai ke tahap yang sangat parah dan merosakkan seluruh jentera dan sendi masyarakat. Yang besar itu angkanya berbilion dan ratus juta ringgit.
“Mana buki, lihat kenyataan Ketua Audit Negara. Lihat kenyataan dan fakta yang telah dibongkar, lihat kapal yang belum siap, lihat kenyataan UKSB di mahkamah. Ini yang harus ditekankan. Bukan nak bawa masalah kaum. Tetapi kalau ada kajian yang membuktikan kita bolehlah sebut,” katanya.
Justeru, beliau menggesa generasi muda untuk bangkit melawan rasuah dan jangan terpedaya dengan imej ‘bersih’ pemimpin kerajaan hari ini tanpa menyelidiki kes kes di belakang mereka.
“Anak muda harus teliti, jangan anggap orang itu ada janggut maka dia tidak ada rasuah.
“Lihat kekayaan isteri, anak pinak, kekayaan keluarga, kroni. Orang itu harus dinyahkan daripada pimpinan politik negara, tidak kira bangsa,” katanya lagi.