AMANAH PERAK KECAM TINDAKAN MENCEMAR IMEJ DAN NAMA BAIK KESULTANAN PERAK

 








Pemuda Amanah Negeri Perak merasa sungguh terkejut dengan pendedahan Laporan PAC berhubung Kapal Peronda Generasi Kedua- Littoral Combatant Ship (LCS) yang turut melibatkan satu majlis upacara penamaan dan pelancaran yang telah disempurnakan oleh DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim sambil disaksikan DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 24 Ogos 2017 yang lalu.

2. Telah didedahkan pada majlis tersebut menyaksikan sebuah kapal LCS yang diberikan nama KD Maharaja Lela yang telah siap dan dilancarkan di Pengkalan Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) Lumut yang mana hakikat sebenarnya adalah satu penipuan bukan sahaja kepada rakyat Malaysia bahkan kepada Institusi DiRaja kerana terheret sama ditipu dan dipermain-mainkan.

3. Justeru, Pemuda AMANAH Negeri Perak mendesak Kerajaan Negeri Perak khasnya membuat satu laporan Polis kerana telah berlaku satu penipuan pelancaran kapal LCS tersebut dan ia melibatkan nama baik serta imej Institusi DiRaja dan Pemuda AMANAH Negeri Perak juga mengharapkan tindakan yang sama juga daripada Dato' Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga bekas Menteri Besar Perak ketika itu

4. Penipuan tersebut jelas telah mencemar Institusi DiRaja Perak khasnya yang sewajarnya tidak berlaku dan apa pun penjelasan yang telah serta bakal diberikan tidak akan menidakkan majlis upacara penamaan dan pelancaran kapal LCS tersebut yang telah berlaku dan permohonan maaf secara terbuka juga wajar didesak dengan segera oleh pihak yang bertanggungjawab dahulu dan sekarang ini.

Khairol Najib Hashim

Ketua Pemuda Amanah Negeri Perak

8 Ogos 2022