Dari Rafizi Ramli
9 Ogos 2022
DCNS GUNA TIGA LAPIS
SYARIKAT, KOS NAIK TIGA KALI GANDA
Penelitian saya
terhadap skandal kapal perang LCS setakat ini menunjukkan ada perancangan dari
awal untuk menyembunyikan penglibatan DCNS (syarikat Perancis yang sering
dikaitkan dengan Dato’ Seri Najib Razak) dari projek ini.
Secara logiknya, jika
DCNS adalah pembekal utama kepakaran, reka bentuk dan pembinaan kapal LCS,
sewajarnya Kerajaan Malaysia melantik DCNS secara terus (seperti yang dibuat
semasa projek kapal selam Scorpene).
Sebaliknya, bagi
projek LCS, Kerajaan Malaysia melantik Boustead Naval Shipyard (BNS) sebagai
kontraktor utama yang kemudiannya melantik syarikat-syarikat lain sebagai
sub-kontraktor.
Walaupun keputusan
ini dijelaskan sebagai usaha untuk membantu veteran tentera (kerana BNS milik
Boustead yang dimiliki Lembaga Tabung Angkatan Tentera, LTAT) dan membina
kepakaran tempatan, tindakan melantik lagi dua lapis sub-kontraktor sebelum
sampai kepada pembekal akhir, iaitu DCNS, membayangkan ada unsur-unsur
penyelewengan dari awal.
Setelah dilantik
menjadi kontraktor kapal perang LCS melalui surat lantikan (LOA) bertarikh 16
Disember 2011, BNS mula melantik sub-kontraktor bagi pakej-pakej utama
perbekalan dan pembinaan kapal perang LCS.
Pada 9 April 2012,
BNS mengeluarkan dua surat lantikan (LOA) bagi dua pakej utama untuk melantik
sub-kontraktor, seperti berikut:
BNS/DSD/SGPV/CS/LOA/CMS/0412-(1)
berjumlah RM898 juta
a) Combat System
Equipment Integration (CSEI)
b) Software
Integration Facility (SWIF)
c) Shore Integration
Facility (SIF)
d) Combat System
Integration Support (CSI)
e) Combat System
Training Centre (CSTC)
BNS/DSD/SGPV/CS/LOA/CMS/0412-(2)
berjumlah RM287 juta
f) Combat Management
System (CMS)
g) Software System
Integration (CSI)
Jumlah keseluruhan
dua pakej utama ini ialah RM1.185 billion.
Dua pakej ini
dianugerahkan kepada sebuah syarikat bernama Contraves Advanced Devices Sdn Bhd
(atau dikenali sebagai CAD).
Lebih mengejutkan,
pada hari yang sama BNS melantik CAD sebagai sub-kontraktor bagi dua pakej
bernilai RM1.185 bilion ini, BNS juga membenarkan CAD melantik syarikat bersekutunya
Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) sebagai sub-kontraktor kepada CAD.
Keputusan BNS
membenarkan CAD melantik CED sebagai sub-kontraktor dikeluarkan pada hari yang
sama surat LOA kepada CAD, iaitu pada 9 April 2012.
CED pula mengeluarkan
LOAnya kepada DCNS untuk membekalkan kerja-kerja dalam dua pakej berjumlah
RM1.185 bilion yang perlu dibayar Kerajaan Malaysia itu.
Malangnya, siasatan
menunjukkan bahawa bagi dua pakej ini yang dimuktamadkan pada harga RM1.185
bilion dengan Kerajaan Malaysia, surat lantikan (LOA) dari CED (sub-kontraktor
lapis kedua) kepada DCNS meletakkan kos sebanyak RM397 juta sahaja.
Maknanya, bagi
kerja-kerja yang akan diinvois oleh DCNS kepada CED sebanyak RM397 juta,
tuntutan dari sub-kontraktor CED dan CAD kepada Kerajaan Malaysia (melalui BNS)
adalah tiga kali ganda lebih mahal.
Kanak-kanak pun boleh
membuat kesimpulan ada tangan-tangan ghaib di belakang syarikat-syarikat BNS,
CAD dan CED yang menyusun kontrak-kontrak perbekalan hingga mengambil komisen
200% dari kos yang dicaj DCNS.
Rakyat ingin tahu
siapa jerung-jerung yang merompak wang rakyat dan melemahkan pertahanan negara
sedemikian rupa.
Sebab itu cubaan
Najib Razak mengalihkan perhatian dari isu ini setakat ini sangatlah lemah.
Beliau memberi gambaran seolah-olah semuanya bersabit kelemahan birokrasi
akibat keputusan PH menyiasat projek ini dan cuba menipu pengikutnya konon
skandal ini tidak ada unsur rasuah langsung.
Saya akan terus
mendedahkan bagaimana keputusan-keputusan penting dalam pengurusan projek kapal
perang LCS mempunyai bukti penyelewengan secara terang-terangan. Ada pihak yang
menyusun segalanya untuk merompak wang rakyat melalui projek ini.
Persoalan utama:
siapakah kepala jerung yang mempunyai kuasa mengarahkan dan melindungi
pegawai-pegawai tertentu dalam BNS untuk melakukan rompakan di siang hari
seperti ini?
Saya tunggu komen
Najib Razak.
RAFIZI RAMLI