‘Saya tak setuju lakukan seks dengan pembantu ADUN Bersatu’, wanita beritahu mahkamah
PETALING JAYA: Seorang wanita memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bahawa dia tidak bersetuju melakukan hubungan seks dengan pembantu kepada ADUN Bersatu yang dikenali sebagai Mohd Zulfahimin Mahdzir.
Wanita berusia 33 tahun itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Chris Kooi.
Pada masa sama, wanita itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Kooi bahawa dia menarik Zulfahimin ke dalam bilik tidur di Dorsett Hartamas Kuala Lumpur di mana kejadian rogol itu didakwa berlaku selepas tengah malam, pada 5 Dis 2020.
“Bukan dengan persetujuan saya, tidak! tidak! tidak!,” katanya menurut laporan Malaysiakini.
Zulfahimin ialah pembantu kepada ADUN Gombak Setia, Hilman Idham.
Wanita itu juga mengatakan dia tidak sedarkan diri kerana mabuk, dan bukan sekadar “tipsy” (mabuk ringan).
Dalam keterangannya, wanita itu mengenal pasti Zulfahimin sebagai individu terakhir berada di atas badannya sebelum dia pengsan dalam keadaan mabuk.
“Saya nampak Zul. Ketika itu saya dapat rasakan saya di atas katil. Rasa Zul atas saya,” katanya merujuk kepada tertuduh.
Wanita itu mengenali tertuduh, yang turut hadir di mahkamah hari ini.
Dia juga mengakui terlibat dalam “skandal” dengan Hilman melalui seorang kenalan sambil menambah mereka telah bertemu beberapa kali.
“Saya juga tidur dengan Hilman. Panggilan seperti ‘sayang’ dan ‘baby’…meletakkan hubungan kami seperti teman lelaki dan teman wanita,” katanya dipetik sebagai berkata.
Zulfahimin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 3 Sept 2021 atas pertuduhan merogol seorang wanita pada Disember 2020.