Kerajaan Negeri akan membekalkan ke pasaran 10,000 ekor ayam bulat
sehari bagi menangani kekurangan bekalan dan kenaikan harga di seluruh negeri.
Menurut Menteri Besar (MB) Selangor Datuk Seri Amirudin Shari,
bekalan ayam segar kepada penduduk itu dilaksanakan di bawah Program Intervensi
Ehsan.
"Kerajaan Negeri akan membekalkan 10,000 ekor ayam sehari
menerusi Program Intervensi Ehsan bagi menampung permintaan ayam di pasaran
bermula 1 Jun ini," katanya dalam kenyataan.
Selain itu, program tersebut yang bermula sejak Februari 2022 lalu
telah berjaya menjual daging, ikan, minyak paket, telur dan sayuran lebih murah
daripada harga pasaran sehingga Hari Raya Aidilfitri lalu.
"Program yang dijenamakan sebagai Jualan Prihatin Rakyat
telah menjelajah seluruh 56 DUN Selangor agar semua rakyat dapat menikmatinya.
Lebih RM3 juta jualan terhasil dan ketika jualan mega sempena Aidilfitri, lebih
RM700 ribu terjual.
"Program ini bukan sahaja meringankan beban rakyat, malah
menambah kegembiraan menyambut Aidilfitri baru-baru ini.
"Dengan tekad dan iltizam yang kuat, Kerajaan Negeri akan
berikhtiar sebaiknya demi rakyat Selangor," kata MB lagi.
Bekalan bahan mentah makanan dalam program ini diambil daripada
ladang Perbadanan Kemajuan Pertanian
Selangor atau dibeli secara borong daripada petani dan penternak seluruh
negeri.