Pengundian semula bagi Pemilihan KEADILAN 2022, Cabang Hulu Selangor dipuji oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Zaliha Mustafa sebagai berjalan baik dan lancar.
Menurut beliau, persediaan yang rapi oleh petugas JPP sehingga jam 3 pagi tadi tidak sia sia apabila proses pengundian berjalan teratur hari ini meski pun pengundi yang keluar begitu banyak.
"Ketua pengawas telah menambah tablet untuk pendaftaran supaya lebih cepat. Kita pastikan perjalanan pengundian dalam dewan supaya berjalan lancar.
"Sejam saya berada di sini, di luar tenang, orang dah tak berkumpul sebab cuaca panas. Saya rasa kita kena cepat selesaikan supaya mereka boleh mengundi dengan selesa," katanya.
Selain Cabang Hulu Selangor, kata Dr Zaliha, 3 cabang di Terengganu, satu di Kedah dan Sabah juga menjalankan pemilihan semula hari ini.
Mengenai semangat yang ditunjukkan calon calon dalam mengeluarkan pengundi di Hulu Selangor, Dr Zaliha berkata, sekiranya kerja keras itu dilakukan pada Pilihan Raya Umum akan datang maka KEADILAN boleh mempertahankan kerusi parlimen berkenaan.
"Saya rasa kalau PRU macam ini, kerjasama keluarkan pengundi, saya pun cakap tadi dengan wakil calon, InshaAllah pilihan raya ada harapan (menang).
"Saya rasa semua kena ambil semangat ini dan mereka pun dapat berbincang sesama sendiri seperti kawan," katanya.
Bagaimanapun kerana akses internet tidak begitu baik di dewan mengundi maka undian dilakukan dalam mode offline.
Menurut Dr Zaliha, terdapat 70 tablet disediakan manakala untuk pendaftaran telah ditambah daripada 4 tablet kepada 8 kerana begitu banyaknya anggota yang hadir.
Ditanya keputusan awal pemilihan, beliau berkata JPP akan mengumumkan keputusan esok. Namun ada beberapa cabang yang masih dalam proses menangani aduan.
"Esok kita akan berikan keputusan yang tidak rasmi tetapi kita masih juga ada beberapa cabang yang membuat aduan.
"Harap aduan itu tidak memaksa kita membuat pemilihan sekali lagi," katanya.
Bagi proses pendaftaran calon calon Majlis Pimpinan Pusat pula, beliau berkata pencalonan akan dibuka secara atas talian pada jam 12.01 malam ini dan secara fizikal di Ibu Pejabat KEADILAN pagi esok.
"Esok pemilihan calon secara fizikal dan online. Kita telah keluarkan notis bagi melanjutkan tempoh pencalonan sehingga 3 hari. Fizikal sehari. Online sehingga 3 hari hingga 31 Mei," katanya lagi.