PESTA KENAIKAN HARGA BARANGAN KINI GAWAT

 Selepas ayam dan sayur, kini harga ikan pula meningkat 20 peratus


Selepas ayam dan sayur, kini harga ikan pula meningkat 20 peratus


Harga beberapa jenis ikan di Kelantan meningkat sebanyak 20 peratus, susulan kekurangan bekalan di pasaran sejak seminggu lalu.

Harga ikan termasuk kembung dijual antara RM12 hingga RM14 sekilogram bagi saiz sederhana manakala selayang (RM14 hingga RM16 sekilogram) dan cencaru (RM10 hingga RM12 sekilogram).

Tinjauan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini, mendapati harga ikan dijual secara borong di pasar itu juga naik sebanyak 20 peratus.

Pemborong, Mohd Adam Tarmizi, 35, mengakui harga ikan dijual secara borong naik sebanyak 20 peratus sejak seminggu lalu kerana kekurangan bekalan.

Katanya, bekalan ikan kurang sebanyak 30 peratus dan tidak dapat menampung keperluan pembeli menyebabkan harga naik antara RM2 bagi setiap sekilogram.

“Misalnya, harga ikan kembung yang dijual secara borong naik daripada RM6 kepada RM8, manakala selayang kasar RM10 kepada RM12 dan cencaru daripada RM6 kepada RM8.

“Bekalan ikan ini saya peroleh dari Thailand, Indonesia, Perak dan Kuantan, Pahang. Namun, bekalan sejak seminggu ini kurang menyebabkan harga meningkat,” katanya yang menjadi pemborong sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, kenaikan harga ini menyebabkan pembeli merungut, namun mereka tidak ada pilihan dan tetap perlu membeli kerana ia keperluan harian.

Katanya, kebiasaannya masalah bekalan ikan kurang di pasaran adalah sementara dan akan ia akan selesai sekiranya bekalan meningkat.

Pemborong ikan, Wan Azhan Wan Ibrahim, 46, berkata, bekalan ikan kurang, namun sebagai pemborong dia berusaha mendapat bekalan untuk memenuhi permintaan peniaga.

“Saya mendapat bekalan ikan dari beberapa negeri termasuk Pahang, namun ia tidak dapat menampung permintaan daripada peniaga.

“Kita sebagai pemborong cuba mendapat bekalan daripada nelayan, namun mereka juga mendapat hasil yang kurang berbanding sebelum ini,” katanya, memetik laporan Harian Metro.