12 MEI 2015
·
Wang pencen sudah, simpanan Tabung Haji sudah. Hari ini saya
dedahkan dana Amanah Saham yang diuruskan PNB juga telah digunakan untuk
memberi pinjaman kepada 1MDB. Hanya duit bawah bantal yang selamat.
SELAIN TABUNG HAJI, PERMODALAN NASIONAL BERHAD JUGA TERLIBAT
MEMINJAMKAN WANG KEPADA 1MDB
Ekoran dari maklumat yang kini tersebar luas mengenai hubung
kait di antara 1MDB dan agensi pelaburan negara, saya telah membuat beberapa
semakan baru untuk menentukan agensi-agensi pelaburan negara yang terdedah
kepada risiko kewangan 1MDB.
Minggu ini, umum telah mengetahui bahawa Lembaga Urusan Tabung
Haji (TH) telah meminjamkan sebanyak RM920.8 juta kepada 1MDB melalui pembelian
bon sukuk yang diterbitkan dalam Februari 2014. Kenyataan Tabung Haji semalam
mengesahkan bahawa pembelian sukuk ini adalah berhubung pembangunan Bandar
Malaysia oleh 1MDB dan hasil dari pinjaman sukuk ini akan digunakan untuk
membiayai pembinaan kem-kem tentera dan infrastruktur berkaitan bagi
memindahkan operasi sedia ada di Kem Sungai Besi sebelum ini.
Semakan saya menunjukkan penerbitan sukuk Bandar Malaysia oleh
1MDB ini sebenarnya telah dilaporkan secara meluas sekitar Februari hingga Mac
2014 tetapi tidak mendapat perhatian umum.
Laporan The Star bertarikh 1 Mac 2014 memperincikan butiran lanjut
mengenai penerbitan sukuk Bandar Malaysia oleh 1MDB ini; seperti berikut:
1. Jumlah pinjaman yang diambil oleh 1MDB melalui terbitan ini
adalah sebanyak RM1.5 bilion dengan kadar faedah 6%
2. Terbitan hutang melalui bon sukuk oleh 1MDB ini melibatkan
pembelian sukuk oleh dua agensi pelaburan kerajaan iaitu Tabung Haji (TH) dan
Permodalan Nasional Berhad (PNB)
3. Ini bermakna, sejumlah RM920.8 juta telah dipinjamkan oleh TH
kepada 1MDB. Baki RM579.2 juta pula telah dipinjamkan oleh PNB kepada 1MBD
4. Sukuk ini tidak disenaraikan dan tidak didagangkan secara
aktif di pasaran bon. Ia adalah kertas hutang yang dirundingkan secara terus di
antara 1MDB dengan TH dan PNB
5. Oleh kerana ia tidak disenaraikan, sukuk ini tidak ditarafkan
(not rated) seperti mana kertas-kertas lain. Hutang RM1.5 bilion ini dijamin
dengan cagaran tanah di Bandar Malaysia (yang diberikan oleh Kerajaan
Persekutuan kepada 1MDB) dan janji bahawa kutipan sewa di Bandar Malaysia
(apabila siap nanti) akan digunakan untuk membayar hutang RM1.5 bilion ini
Semakan saya menunjukkan bahawa 1MDB merancang untuk menerbitkan
sehingga RM2.5 bilion sukuk bagi membiayai pembangunan Bandar Malaysia, di
samping hutang sebanyak RM2 bilion yang diperolehi dari Ambank juga bagi tujuan
pembangunan Bandar Malaysia.
Malangnya, sehingga sekarang kita masih belum melihat kemajuan
yang meyakinkan bahawa Bandar Malaysia ini akan mendatangkan keuntungan yang
membolehkan 1MDB membayar kembali hutangnya kepada TH dan PNB. Di mana lapangan
terbang di Ipoh dan kem tentera baru di Negeri Sembilan (sebahagian dari
program pemindahan infrastruktur tentera Malaysia apabila Kem Sungai Besi
diserahkan kepada 1MDB)?
Soalan paling besar: apa yang telah terjadi kepada RM3.5 bilion
(RM1.5 bilion dari sukuk yang dipinjam dari TH/PNB dan RM2 bilion pinjaman dari
Ambank) yang telah dipinjam setakat ini kononnya untuk membangunkan Bandar
Malaysia? Keterlibatan PNB dalam memberi hutang kepada 1MDB kini mengesahkan
kebimbangan saya bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak akan menggunakan dana-dana
awam untuk menyelamatkan 1MDB.
RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN
PANDAN