PRU akan datang ‘last’ bagi Anwar sebagai presiden PKR?



Fahmi Fadzil berkata persaraan dan pemergian rakan seangkatan amat memberi kesan kepada Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: Anwar Ibrahim akan memimpin PKR sekurang-kurangnya untuk satu lagi pusingan pilihan raya umum, kata pengarah komunikasi parti, Fahmi Fadzil.

“Sebenarnya kami mempunyai rancangan penggantian yang jelas,” katanya kepada FMT, menjawab sama ada PKR merancang untuk mengetengahkan muka baharu dalam saf kepimpinan parti.

Beliau berkata Anwar sendiri membentangkan rancangan penggantian itu ketika pimpinan parti bermukim pada Februari lepas, sebelum PRN Johor.

“Bukannnya Anwar mahu jadi presiden (abadi), namun dalam bacaan saya, kami ada suatu misi, suatu agenda untuk dilaksanakan,” katanya.

Ads by Kiosked

Ditanya tentang bila rancangan penggantian itu akan dilaksanakan, Fahmi memberitahu “satu pusingan pilihan raya lagi”.

Fahmi tidak berkongsi butiran rancangan itu, termasuk siapa yang akan mengambil alih kerusi presiden namun berkata, Anwar tegas mahu ia diteruskan.

Sebenarnya, kata Fahmi, persaraan dan pemergian rakan seangkatan amat memberi kesan kepada Anwar, termasuk adiknya, Rusli Ibrahim, dan bekas presiden Angkatan Belia Islam Malaysia, Siddiq Fadzil.

“Lim Kit Siang bersara, Tengku Razaleigh Hamzah bersara, Nazri Aziz juga kata beliau tidak mahu bertanding…jadi sudah tentu orang seangkatan akan terasa,” katanya.

Fahmi berkata ketika ini Anwar masih ketua yang terbaik untuk memimpin PKR dan Pakatan Harapan menghadapi PRU akan datang.

Anwar minggu lepas mengekalkan jawatan presiden PKR bagi penggal 2022-2024, kali kedua beliau menang tanpa bertanding sejak bebas penjara pada 2018.

Ads by Kiosked

Anak perempuannya, Nurul Izzah, pada Sabtu meramalkan PH memerlukan dua pusingan PRU untuk kembali ke Putrajaya.

Susulan prestasi buruk PKR pada PRN Johor, ada penganalis berpandangan PH perlu menggantikan Anwar jika mahu mengungguli PRU akan datang.

Pada pilihan raya negeri Johor Mac lepas itu, PH terpaksa berpuas hati dengan 12 daripada 56 kerusi, dengan hanya satu dimenangi PKR.