Kerjaya guru hambar kerana kehendak atasan, NUTP gesa KPM bertindak



NUTP menganggarkan lebih 10,000 guru memilih bersara awal sejak
 beberapa tahun kebelakangan ini.

PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berkata profesion itu semakin hambar kerana perlu memenuhi kehendak orang atasan berbanding keperluan murid yang dahagakan ilmu pengetahuan.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang, berkata antara punca utama guru baharu bersara awal kerana amat tertekan dengan budaya kerja yang banyak dicampur aduk tugas lain tidak relevan.

“Guru sedar semua profesion ada beban mereka tetapi apa dimaksudkan dalam konteks ramai guru memilih untuk bersara awal ini ialah guru dibebankan bukan dengan tugas hakiki atau tugasan profesional, tetapi lebih kepada kerja tidak relevan dengan tugas dan tanggungjawab sebagai guru.

“Mudahnya, peranan guru adalah mendidik anak bangsa, tetapi yang berlaku hari ini guru lebih dibebankan dengan kerja pentadbiran dan pengurusan data,” katanya kepada FMT.

Semalam, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menzahirkan kebimbangan mengenai trend guru memilih bersara awal dan menggesa kerajaan campur tangan bagi mengelak krisis pendidikan dalam negara.

Ia susulan anggaran NUTP, lebih 10,000 guru memilih bersara awal sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Mohamad berkata, jumlah didedahkan NUTP jauh melebihi angka didedahkan Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai persaraan pilihan.

Menurut KPM, ia menerima 4,360 permohonan persaraan pilihan setakat November lalu.

Sementara itu, Aminuddin berkata Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah juga meletakkan pengurusan cemerlang di tempat pertama.

“Sebaliknya pencapaian dan hala tuju murid jatuh ke tangga kedua. Ibu bapa juga ramai memberikan tekanan kepada guru dalam pelbagai aspek sehingga menyebabkan mereka tertekan dalam mendidik murid di sekolah.

“Itu belum lagi ambil kira masa diperuntukkan untuk melayan pelbagai soalan dalam kumpulan WhatsApp sekolah dan kelas masing-masing. Dengan kata lain, guru sekarang seolah-olah bekerja dari pagi hingga malam,” katanya.

Beliau menggesa KPM bertindak segera bagi mengekang guru bersara lebih awal dari tempoh sepatutnya.


No comments: