Nabi Muhammad berperang bulan Ramadan, mengapa debat tak boleh?


 

Dolak dalik bekas Perdana Menteri, Najib Razak dan orang kanannya berhubung debat bersama Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperlihatkan kegentaran pada pihak pemimpin Umno itu.



Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil, alasan yang ditimbulkan para penyokong Najib bahawa bulan Ramadan hanya untuk beribadat dan bukan berdebat tidak boleh diterima.



Katanya, junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w turun berperang pada bulan yang mulia ini, debat untuk mencari kebenaran tentulah tidak dihalang oleh Islam.



"Dalam sejarah Islam, Nabi Muhammad s.a.w pernah berperang di bulan Ramadan. Fathul Makkah juga di bulan Ramadan.



"Dalam sejarah Malaysia, pilihan raya kecil Sungai Besar, Kuala Kangsar pada 2016 dan Permatang Pasir pada 2009 pun pernah dibuat di bulan Ramadan," katanya.



Fahmi jelas kecewa kerana debat yang ditunggu tunggu rakyat itu terpaksa ditunda ke bulan Syawal. Katanya, selepas Hari Raya Aidilfitri sepatutnya debat tidak ditangguhkan lagi dan diumumkan tarikh serta masanya.



"Tapi sekarang nak debat kena tunggu Syawal. Padahal dia yang cabar debat.



“Let’s rock!” After Raya…," katanya lagi.



Fahmi dilantik oleh Datuk Seri Anwar untuk berbincang dengan pihak Najib bagi menentukan tarikh, masa dan tempat dilangsungkan debat.