Lawatan Perdana Menteri (PM) Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri
Yaakob hujung bulan lalu ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang tidak mendapat
sambutan selayaknya sebagai ketua kerajaan adalah akibat kelemahan Menteri Luar
yang gagal mengkoordinasikan dengan baik lawatan tersebut.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim
berkata Menteri Luar tidak boleh menyalahkan Duta Besar atau pegawai bawahan
tetapi mesti bertanggungjawab di atas kelemahan menjolok mata itu.
"Pengalaman saya selama belasan tahun sebagai menteri, juga
dalam kerajaan yang sebelumnya pun belum pernah saya dengar lawatan rasmi PM
tidak disambut oleh negara yang mengundangnya.
"Jadi ada satu kecelaruan dalam diplomasi kita dan Menteri
Luar harus bertanggungjawab. Jangan disalahkan Duta Besar atau pegawai di
peringkat bawah," katanya hari ini.
Menurut Anwar, Menteri Luar mesti membuat kenyataan rasmi
berhubung kegagalan pegawai pegawai Malaysia di UAE dalam menyediakan sambutan
serta iringan kepada rombongan Malaysia tersebut.
"Dia (Menteri Luar) harus menjawab kerana belum pernah negara
terhina sebegini rupa kerana kecualian dan kelembaban Menteri Luar
"Menteri Luar harus buat kenyataan dan harus
dipertanggungjawabkan," katanya.
Berhubung kelemahan itu, Kementerian Luar Negeri baru baru ini
telah mengambil tindakan memanggil pulang Duta Besar Malaysia ke UAE, Datuk
Mohd Tarid Sufian dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Mohd Hasril Abdul Hamid
di atas kecuaian kedua-dua ketua perwakilan tersebut yang menyebabkan PM Ismail
Sabri terpaksa menunggu lama di ruang ketibaan biasa bagi urusan pelepasan
pasport oleh Imigresen Dubai
Selain itu, liputan, kawalan keselamatan serta pergerakan motoked
yang sepatutnya disediakan untuk Ismail Sabri seperti amalan prosedur operasi
standard (SOP) biasa juga tidak diperolehi sebagai tetamu negara.