Sistem pemantauan kesihatan MySejahtera dinyatakan oleh Menteri
Kesihatan Datuk Seri Khairy Jamaluddin dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan
Malaysia.
Namun rakyat tertanya tanya mengapakah perundingan untuk mengambil
alih sistem tersebut kelihatan sukar dan memakan kos yang tinggi sehingga RM300
juta, sedangkan kegunaan sistem berkenaan mungkin tidak diwajibkan lagi kepada
rakyat selepas fasa endemik Covid 19.
Bagi Naib Presiden KEADILAN, Chang Lih Kang, Menteri Kesihatan
perlu menjelaskan lebih banyak fakta kepada rakyat
Katanya, apa yang dijelaskan Khairy berkenaan pengambilalihan itu
baru baru ini tidak masuk akal dan meragukan, seolah-olah beliau cuba
melindungi pihak lain.
"Saya rasa memang tidak munasabah penerangan Khairy itu sebab
ini melibatkan isu keselamatan data rakyat Malaysia. Saya rasa tak ada masalah
kalau agensi kerajaan ke agensi kerajaan yang lain dalam proses pengambilalihan
aplikasi itu. Dari Majlis Keselamatan Negara ke Kementerian Kesihatan Malaysia
(KKM), dan ia lebih mudah.
"Kalau ini pun (Khairy) tidak boleh lakukan, saya rasa rakyat
hilang keyakinan terhadap beliau dan juga agensi kerajaan pun tidak boleh
percaya. Sangat tidak masuk akal keadaan ini.
"Apa yang kita selalu bimbang ialah kemungkinan (dakwaan)
kerajaan jual data kepada orang lain terutama syarikat swasta ataupun syarikat
luar negara. Itu menjadi persoalan kalau data itu dipindahkan ke KKM kita tak
ada masalah," katanya ketika dihubungi.
Sehubungan itu, menurut Ahli Parlimen Tanjung Malim itu lagi,
Khairy selaku menteri yang bertanggungjawab perlu mendedahkan latar belakang
syarikat pengendali MySejahtera sebelum ini secara jelas kepada rakyat
"Khairy perlu telus, sekurang-kurangnya kena beritahu latar
belakang syarikat itu sama ada syarikat ini berpangkalan di dalam Malaysia atau
di luar Malaysia sebab ia melibatkan data-data yang sangat berharga dan ia
patut didedahkan kepada umum.
"Hal ini kerana ia melibatkan data rakyat Malaysia yang
begitu banyak dan begitu sensitif," katanya lagi.